ad

Aroma 'bak kwa' gamit selera pencinta daging salai

22 Nov 2025, 2:01 AM
Aroma 'bak kwa' gamit selera pencinta daging salai
Aroma 'bak kwa' gamit selera pencinta daging salai
Aroma 'bak kwa' gamit selera pencinta daging salai

Bak kwa atau dikenali sebagai daging salai merupakan makanan tradisi masyarakat Cina yang sangat popular, terutamanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

Dihidangkan sebagai simbol kemakmuran, ia dihasilkan daripada hirisan daging yang diperap dengan pelbagai rempah ratus istimewa sebelum dipanggang bagi menghasilkan aroma yang menggamit selera.

Dek kerana rasa ingin tahu yang tinggi terhadap kelazatan bak kwa, usahawan Bumiputera, Mohd Yaakop Alias, tampil dengan idea menghasilkan hidangan itu versi halal membolehkan orang Islam dapat menikmatinya tanpa rasa was-was.

Pengarah Urusan Tawakkal Foods Sdn Bhd, Mohd Yaakop Alias

Melalui syarikatnya, Tawakkal Foods Sdn Bhd yang beroperasi di Sungai Pelek, Sepang, dia bersama rakan niaga keturunan Cina berusaha mencari formula ramuan dan rempah yang halal serta sesuai dengan cita rasa pelbagai kaum.

“Biasanya kita nampak produk ini yang tidak halal di pasaran. Tercetus idea itu sebab kita nampak ia tergantung tapi kita tak boleh makan. Jadi saya cakap dengan rakan kongsi, mengapa tidak kita tukarkan ia jadi produk halal,” katanya.

Usaha mereka bermula secara kecil-kecilan dengan hanya lima hingga 10 kilogram (kg) daging bagi mendapatkan maklum balas awal daripada rakan dan keluarga.

“Kebanyakan maklum balas adalah positif, jadi mereka syorkan kita teruskan buat produk ini,” katanya.

Hasilnya, jenama Daging Salai Pelek mula diperkenal ke pasaran pada 2022 dalam bentuk pek sedia dimakan.

Keunikan Daging Salai Pelek terletak pada aromanya yang dibakar menggunakan arang khas dari Indonesia, selain bungkusan premium yang sesuai dijadikan buah tangan ketika musim perayaan.

“Bungkusan premium ini untuk tujuan contohnya, kalau musim perayaan kita akan beri hadiah. Jadi kita buat bungkusan premium ini sebagai buah tangan kepada orang yang tersayang,” ujarnya.

Bagi memastikan kualiti dan kehalalan produk terjamin, Pengurus Pengeluaran Tawakkal Foods, Nurul Shuhadah Mohamad Yasir menegaskan semua proses penghasilan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Pengurus Pengeluaran Tawakkal Foods Sdn Bhd, Nurul Shuhadah Mohamad Yasir

“Aspek halal menjadi fokus utama kami. Pembelian ayam dan daging dibeli daripada pembekal yang bertauliah. Seterusnya cara kerja perlu ikut SOP kebersihan dan mencapai piawaian halal yang ditetapkan,” katanya.

Syarikat berkenaan mampu memproses antara 20kg hingga 360kg daging sehari, bergantung pada permintaan pasaran.

Tawakkal Foods kini meneroka potensi menjadikan daging salai sebagai hidangan sampingan Aidilfitri, sama seperti peranannya dalam Tahun Baharu Cina.

“Kita sedia maklum, hari raya sinonim dengan rendang dan ketupat. Daging salai juga boleh dijadikan menu sampingan kerana ia mudah untuk dimakan, sedap rasanya dan boleh diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.

Pekerja Tawakkal Foods Sdn Bhd memastikan penghasilan bak kwa mengikut tatacara operasi piawai ditetapkan. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Menariknya, selebriti Karl Shafek yang kini menjadi duta produk turut berkongsi kisahnya sebagai pembeli tegar.

“Saya selalu nampak bak kwa dijual di jalanan. Saya selalu tertanya-tanya macam mana rasanya kerana kita sedia maklum ia dihasilkan menggunakan bahan yang tidak halal.

"Bila saya tahu ia disediakan secara halal, bersih dan suci oleh seorang usahawan Bumiputera, saya cuba untuk rasa.

"Baru saya tahu bagaimana rasanya. Bila saya tanya kenalan saya yang bukan beragama Islam, mereka kata rasanya sama,” katanya.

Kini, Daging Salai Pelek boleh didapati dalam tiga perisa utama lada hitam, kari dan asli di pasar raya Aeon, Hero Market, ST Rosyam Mart serta beberapa stesen minyak terpilih di Lembah Klang pada harga mampu milik.

Dengan inovasi ini, hidangan tradisi masyarakat Cina disesuaikan ke dalam budaya makanan tempatan membuktikan selera boleh merentasi sempadan agama dan kaum, asalkan diusahakan dengan niat yang baik dan ikhlas.