SHAH ALAM, 20 NOV: Seorang suri rumah didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengabai sehingga menyebabkan anak perempuannya cedera terjatuh dari rak menukar lampin pakai buang.
Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh juga memerintahkan tertuduh, Nurul Hayat Saharudin, 31, dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 daripada seorang penjamin serta khidmat masyarakat selama 120 jam untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa hari ini, lapor portal BuletinTV3.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya. Tertuduh kemudian membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya ketika kejadian, di sebuah rumah di Kampung Punggur Darat, Rengit, di sini, jam 9 pagi, 11 Disember tahun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama.
Seksyen 31 (1) memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pihak hospital memaklumkan seorang bayi perempuan cedera di kepala dan dagu ketika dihantar tertuduh serta ibu mentuanya untuk mendapatkan rawatan.
Siasatan polis mendapati, bayi berusia 50 hari terbabit dilaporkan terjatuh dari rak menukar lampin pakai buang pada ketinggian 80 sentimeter.
Ketika kejadian, mangsa ditinggalkan atas rak terbabit manakala tertuduh ke dapur untuk membuat susu. Tidak lama kemudian, tertuduh terdengar tangisan sebelum bergegas ke depan dan melihat anaknya terjatuh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).




