ad

Tiada tambahan kadar bantuan bencana, RM166 juta disalurkan sejak 2022

20 Nov 2025, 4:10 AM
Tiada tambahan kadar bantuan bencana, RM166 juta disalurkan sejak 2022

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri tidak bercadang menambah kadar sumbangan bantuan bencana yang diterima ketua isi rumah.

EXCO Pengurusan Bencana, Mohd Najwan Halimi, berkata sehingga September tahun ini, hampir RM3 juta peruntukan bantuan banjir telah diluluskan bagi membantu mangsa di seluruh Selangor.

“Bagi 2022, jumlah peruntukan diluluskan RM100.1 juta, manakala RM61.4 juta (2023), RM1.54 juta (2024) dan RM2.93 juta pada tahun ini setakat September lalu.

“Keseluruhan jumlah peruntukan disalurkan lebih RM166 juta yang mana kelulusan ini berdasarkan permohonan diterima pejabat daerah/tanah selaku urus setia jawatankuasa pengurusan bencana daerah,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu mengenai jumlah kelulusan bantuan bencana, Najwan memaklumkan mangsa banjir menerima bantuan RM500, manakala mangsa banjir kilat yang tidak dipindahkan menerima RM250.

Waris mangsa bencana yang meninggal dunia pula diberikan RM1,000.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan nilai kerugian akibat banjir pada 2024 direkodkan sebanyak RM22.6 juta, berbanding RM13.9 juta tahun sebelumnya.

“Aset awam dan infrastruktur mencatat kerugian tertinggi iaitu RM13.8 juta, tempat kediaman (RM6.6 juta), pertanian (RM1.9 juta) dan kenderaan (RM300,000).

“Tiada kerugian dilaporkan bagi premis perniagaan dan pembuatan. Bagi tahun ini, jumlah kerugian hanya akan diterbitkan dalam Laporan Impak Banjir 2025 pada suku pertama tahun depan,” katanya.