ad

MPAJ tutup laluan ke tapak sampah haram di Kampung Tasek Permai

20 Nov 2025, 2:23 AM
MPAJ tutup laluan ke tapak sampah haram di Kampung Tasek Permai

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melaksanakan tindakan penutupan laluan serta peletakan halangan di Kampung Tasek Permai, Mukim Ampang dalam operasi bersepadu bagi menangani isu pembuangan sampah haram yang berulang di kawasan tersebut.

Operasi yang dijalankan semalam melibatkan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Bangunan MPAJ bersama Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.

Menurut MPAJ, langkah itu diambil bagi memastikan kawasan persekitaran kekal bersih, selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada komuniti setempat.

"Peletakan halangan turut menggunakan jentera khas selepas mendapat pengesahan teknikal daripada jabatan berkaitan.

"Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat mengesahkan status tanah serta keperluan penutupan laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan.

MPAJ memaklumkan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden, dengan keselamatan penduduk menjadi keutamaan selain pemuliharaan alam sekitar.

"Usaha ini merupakan tindakan berterusan MPAJ dalam menjaga kebajikan komuniti dan mencegah aktiviti yang menjejaskan kualiti hidup penduduk," katanya.

Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklum balas boleh menyalurkannya melalui SISPAA MPAJ di laman web rasmi atau menghubungi Talian Bebas Tol 1-800-22-8100.