ad

Lelaki maut ditembak ketika sedang makan di restoran

20 Nov 2025, 1:42 AM
Lelaki maut ditembak ketika sedang makan di restoran

SHAH ALAM, 20 NOV: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditembak ketika sedang menikmati makanan di sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan, malam tadi.

Menurut saksi, mangsa pada mulanya dilihat sedang makan sebelum lokasi itu didatangi dua kenderaan.

Mangsa kemudian bertindak melarikan diri ke seberang jalan sebelum bunyi tembakan kedengaran dan dia rebah tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.23 malam.

“Ketika anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kami menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki memaklumkan berlaku satu kes bunuh di sebuah restoran di lokasi berkenaan.

“Kes masih dalam siasatan dan kami akan memaklumkan perkembangan serta butiran lanjut kepada media,” katanya seperti dilapor BH.

Polis kini sedang mengenal pasti motif kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.