SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri memperkukuh agenda pembangunan masyarakat India menerusi peningkatan peruntukan kepada RM2.7 juta pada 2026, berbanding RM2.185 juta tahun ini.
EXCO Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata jumlah itu memberi tumpuan kepada inisiatif pendidikan dan program kebajikan yang terus mendapat permintaan tinggi komuniti berkenaan.
“Kerajaan Negeri komited memastikan anak-anak masyarakat India, terutama kelompok B40, tidak tercicir daripada akses pendidikan berkualiti. Bantuan ini memberi ruang lebih luas untuk mereka melanjutkan pelajaran,” katanya pada sidang media di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Daripada jumlah tersebut, RM1.2 juta disalurkan khusus untuk Program Sumbangan Tambang Bas Sekolah bagi pelajar SJK(T) daripada keluarga B40, manakala RM1.5 juta diperuntukkan bagi Program Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM1.5 juta bagi penganjuran program dan sambutan kebudayaan termasuk Deepavali, Ponggal, Thaipusam, Vaisakhi, Ugadi dan Onam dengan beberapa daripadanya diperkenalkan buat pertama kali di peringkat negeri.
“Sokongan terhadap kebudayaan ini bukan hanya meraikan kepelbagaian, tetapi memperkukuh perpaduan serta identiti masyarakat India di Selangor,” katanya.






