SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri disaran menyediakan bantuan makanan berkhasiat kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan sebagai ikhtiar meringankan beban dan menyokong perkembangan akademik mereka.
Wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid berkata program ini bukan sahaja memastikan pelajar mengambil makanan seimbang, tetapi turut menyumbang kepada tumpuan dan prestasi mereka sepanjang sesi pembelajaran.
“Selain membangunkan infrastruktur dan pendidikan, tiba masanya belanjawan negeri memberi perhatian kepada program pemakanan di sekolah.
”Ia merupakan komponen penting untuk kesejahteraan pelajar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Mariam mencadangkan Selangor mencontohi program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) anjuran Kementerian Kesihatan yang terbukti memberi impak ketara terhadap perkembangan dan menggalakkan kehadiran murid di sekolah.
Tahun lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan HiTS sebagai salah satu daripada tiga inisiatif dalam Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023–2030.
Dilaksana di 277 sekolah kerajaan di seluruh negara, program berkenaan menunjukkan hasil positif, termasuk pengurangan berat badan berlebihan serta peningkatan perkembangan kognitif pelajar yang terlibat.





