SELAYANG, 21 OKT: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggerakkan projek #MisiRakyatUntukGaza:Nasi Arab sebagai usaha membantu penduduk negara bergolak itu mendapat bekalan makanan.
Pengasas misi Ali Ikhwan Mohd Noordin berkata projek juga bertujuan memastikan penduduk Palestin menerima nutrisi mencukupi selepas kekurangan makanan akibat pencerobohan dan penindasan dilakukan rejim Israel sejak dua tahun lalu.
Untuk permulaan, beliau menjelaskan pihaknya bakal menghantar kira-kira 17,000 bungkusan nasi Arab yang disterilkan (retort) dalam masa terdekat melalui laluan Jordan.

“Setiap pek terkandung 500 gram nasi dan lauk sama ada ayam atau daging. Nasi dari beras Basmathi ini lengkap dengan rempah ratus, sumber protein dan karbohidrat yang diperlukan rakyat Gaza.
“Ini antara usaha kita bantu Palestin. Kita hantar bekalan yang mudah untuk mereka makan. Kandungan setiap bungkusan boleh dimakan dua orang dan penghantaran pertama ini memanfaatkan 34,000 penduduk,” katanya melancarkan projek berkenaan.
Antara NGO terlibat ialah Muslim Care Malaysia, Ikhlas Care dan Cinta Gaza Malaysia.

Ali Ikhwan berkata bungkusan berkenaan mampu bertahan selama dua tahun sekali gus memastikan penduduk Gaza tidak terputus bekalan makanan berkhasiat dalam tempoh panjang.
Jelasnya, penghantaran makanan terbabit juga merupakan langkah terbaik sekiranya sekatan dikenakan semula, manakala pemilihan nasi Arab dilihat bersesuaian dengan cita rasa penduduk di sana.
“Makanan ini mampu bertahan lama. Kalau boleh kita mahu hantar sebanyak mungkin supaya bekalan makanan berkhasiat sentiasa ada dan tidak timbuk situasi kebuluran,” katanya.
Justeru Ali Ikhwan berharap agar rakyat negara ini dapat bersama-sama menyumbang bagi membolehkan lebih banyak bungkusan dapat dihantar ke Palestin.

“Dalam situasi sekarang, bantuan ini bukan sekadar makanan untuk mereka sebaliknya menjadi simbol kasih dan solidariti rakyat Malaysia,” katanya.