SHAH ALAM, 19 NOV: Selangor bercadang menggunakan Tabung Amanah Bencana Alam untuk tujuan baik pulih prasarana yang terjejas akibat cerun dan tanah runtuh.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan, beliau mencadangkan penggunaan dana sekitar RM10 juta bagi memastikan pengurusan cerun dapat dilaksanakan segera.

“Selangor mempunyai dua tabung iaitu Tabung Amanah Bencana Alam dengan baki RM90 juta dan Tabung Amanah Bencana Negeri, yang menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui NADMA sebanyak RM13 juta serta Kerajaan Negeri RM12 juta.
“Bagi Tabung Amanah Bencana Negeri berjumlah RM25 juta, ia boleh digunakan untuk menguruskan mangsa termasuk menyediakan tempat tinggal dan makanan. Sebagai contoh, kes di Putra Heights menggunakan tabung ini,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin menjelaskan, penggunaan Tabung Amanah Bencana Alam untuk tujuan pembangunan perlu diluluskan dalam dewan dan dibawa ke belanjawan negeri.
Sejak 2011, wang daripada tabung ini tidak pernah digunakan dan beliau bercadang menumpukan penggunaannya untuk kawasan cerun dan tanah runtuh.
Beliau turut memaklumkan pihaknya akan membuat pindaan Enakmen Tabung Amanah Bencana Alam dalam persidangan akan datang supaya penggunaannya lebih mudah bagi elemen pembangunan pengurusan bencana.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan penggunaan tabung tersebut bagi baik pulih ban rebak akibat perubahan iklim, walaupun fokus utama kekal pada cerun dan tanah runtuh.
“Saya akan merujuk dengan EXCO Infrastruktur dan jabatan berkaitan untuk pengurusan cerun. Semua tindakan akan dilaporkan dalam dewan bagi memastikan ketelusan pentadbiran,” katanya.







