ad

Sindiket bitcoin curi tenaga, TNB tanggung kerugian RM4.57 bilion

19 Nov 2025, 3:13 AM
Sindiket bitcoin curi tenaga, TNB tanggung kerugian RM4.57 bilion
Sindiket bitcoin curi tenaga, TNB tanggung kerugian RM4.57 bilion

SHAH ALAM, 19 NOV:Tenaga Nasional Berhad (TNB) menanggung kerugian besar berjumlah RM4.57 bilion sejak 2020 akibat kegiatan mencuri elektrik bagi tujuan perlombongan mata wang kripto, khususnya bitcoin.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerugian itu dikenal pasti selepas TNB berjaya membongkar 13,827 premis yang terlibat dalam aktiviti itu antara tahun 2020 hingga Ogos 2025.

"Kegiatan itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan syarikat utiliti negara, malah turut mengancam keselamatan awam, merosakkan harta benda dan membawa risiko serius kepada kestabilan sistem tenaga nasional," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah premis yang berjaya dibongkar TNB kerana aktiviti menggunakan bekalan elektrik secara haram untuk menjalankan aktiviti melombong mata wang kripto, khasnya bitcoin dan anggaran kerugian serta tindakan TNB untuk mencegah aktiviti haram itu.

Dalam usaha mengekang jenayah yang semakin meruncing itu, Fadillah berkata, TNB membangunkan pangkalan data yang menyimpan rekod lengkap pemilik dan penyewa premis yang disyaki terlibat dalam kecurian elektrik.

Tegasnya, pangkalan data tersebut berfungsi sebagai rujukan penting untuk mengenal pasti corak penggunaan elektrik yang luar biasa serta membantu merancang tindakan penguatkuasaan di lapangan.

"TNB bersama PETRA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) melaksanakan siri operasi bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Melalui operasi ini, ribuan mesin perlombongan bitcoin telah dirampas dan rangkaian kegiatan curi elektrik berjaya dipatahkan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, TNB turut mengukuhkan pemantauan teknikal melalui Projek Perintis Distribution Transformer Meter (DTM) yang membolehkan pengesanan awal corak penggunaan tenaga yang luar biasa dan jurang tenaga mencurigakan.

Katanya, meter pintar juga dipasang bagi memastikan penggunaan elektrik dapat dipantau secara masa nyata, sekali gus memudahkan pengesanan pantas sekiranya berlaku manipulasi atau gangguan pada meter.

"Usaha membanteras aktiviti perlombongan kripto haram ini akan diteruskan melalui pendekatan bersepadu merangkumi penguatkuasaan, pendidikan awam dan libat urus strategik bersama pihak berkepentingan.

"Tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kerugian besar kepada industri tenaga negara dan memastikan keselamatan sistem bekalan elektrik sentiasa terpelihara," katanya.