ad

LHDN bongkar kartel kenderaan mewah tidak lapor pendapatan RM70 juta

18 Nov 2025, 3:02 AM
LHDN bongkar kartel kenderaan mewah tidak lapor pendapatan RM70 juta

SHAH ALAM, 18 NOV: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) membongkar ketidakpatuhan cukai sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel jual beli kenderaan mewah, dengan anggaran pendapatan sebenar daripada transaksi jualan berjumlah RM70 juta gagal dilaporkan.

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan operasi penguatkuasaan dijalankan semalam membabitkan premis perniagaan, kediaman pengarah syarikat dan sebuah firma juruaudit di Lembah Klang.

“Menerusi operasi ini, penggeledahan dijalankan bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan ketidakpatuhan cukai. Siasatan awal mendapati syarikat berkenaan gagal melaporkan pendapatan sebenar daripada transaksi jualan berjumlah anggaran RM70 juta,” menurut agensi itu.

Kes kini disiasat di bawah subseksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap syarikat dan perenggan 113(1)(a) terhadap pengarahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin ketika dihubungi berkata, tindakan itu merupakan sebahagian daripada operasi bersasar untuk memperkukuh pematuhan cukai, khususnya dalam sektor transaksi bernilai tinggi seperti kenderaan mewah.

“Ketidakpatuhan sebegini bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah menjejaskan keadilan sistem percukaian dan tidak harus dipandang ringan,” katanya.

LHDN menegaskan operasi ini sejajar dengan usaha kerajaan memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang berakar umbi sejak puluhan tahun, serta membendung ketirisan hasil negara.

Antara kes pelarian cukai yang sedang dan akan diambil tindakan termasuklah:

  • kegiatan perlombongan emas

  • penipuan

  • penyalahgunaan status kebajikan

  • hasil perjudian

  • perniagaan warga asing tidak lapor pendapatan

LHDN menambah, langkah berkenaan menunjukkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan setiap pihak mematuhi peraturan percukaian.

“Integriti sistem percukaian negara terus terpelihara dan tiada kompromi terhadap cubaan mengelak cukai, demi kesejahteraan negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu.