ad

Polis gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai lebih RM583,000

17 Nov 2025, 2:21 PM
Polis gagalkan cubaan seludup bunga ganja bernilai lebih RM583,000

JITRA, 17 NOV: Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk 16.2 kilogram (kg) bunga ganja dianggarkan bernilai RM583,500 selepas menahan seorang lelaki tempatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata lelaki berusia 30 tahun itu yang memandu sebuah kereta ditahan kira-kira 5.30 petang.

“Pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan satu bagasi hitam yang di dalamnya mengandungi 10 bungkusan plastik warna hitam dan 10 bungkusan plastik lut sinar berisi daun kering disyaki bunga ganja.

“Lelaki terbabit yang berasal dari Melaka didapati bekerja sebagai pemandu lori serta masih bujang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati kereta itu disewa oleh lelaki berkenaan di Johor yang kemudian dibawa dan ditinggalkan di Kompleks Darul Qiyam, di sini sebelum dia ke negara jiran menaiki kenderaan lain.

“Dia mengaku masuk ke Thailand pada 9 Nov dan tinggal di sebuah hotel di Sadao hingga 14 Nov. Dia mendakwa diberikan arahan oleh individu lain mengenai masa, lokasi dan kaedah mengambil beg mengandungi dadah di pintu sempadan yang ditinggalkan dua lelaki Thailand,” katanya.

Mohd Radzi berkata lelaki berkenaan didapati menerima upah sebanyak RM2,000 jika berjaya membawa masuk dadah ke negara ini dan polis sedang meneliti rekod perjalanannya di sempadan, sewaan kenderaan serta rangkaian komunikasi bagi mengenal pasti saki baki sindiket berkenaan.

Lelaki terbabit kini direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata polis juga sedang mengesan seorang lagi rakan lelaki itu iaitu warga Malaysia yang disyaki memainkan peranan penting dalam penyelarasan penyeludupan dadah bersama sindiket.