ad

Selangor FC perjelas insiden sebenar, minta FAM kaji semula hukuman

17 Nov 2025, 11:07 AM
Selangor FC perjelas insiden sebenar, minta FAM kaji semula hukuman
Selangor FC perjelas insiden sebenar, minta FAM kaji semula hukuman

SHAH ALAM, 17 NOV: Selangor FC menafikan pembabitan penyokongnya dalam beberapa insiden dikaitkan dengan kelab itu ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 29 Oktober lalu.

Menurut kelab itu, siasatan dalaman mendapati penyokong Selangor FC tidak terlibat dalam insiden membakar atau melempar mercun seperti dakwaan awal.

Mereka turut memaklumkan bahawa kerosakan dan kehilangan bangku tempat duduk hanya berlaku di kawasan penyokong pelawat, sekali gus menolak dakwaan bahawa penyokong Selangor FC menyebabkan kerosakan fasiliti stadium atau mencederakan penyokong lawan.

Selangor FC juga menjelaskan bahawa tuduhan membabitkan tetamu VVIP kelab yang kononnya melempar bekas minuman ke arah penyokong lawan adalah tidak benar.

“Selain itu, pihak kelab menegaskan penyokong Selangor FC tidak melakukan sebarang provokasi sehingga mencetuskan kekecohan di stadium.

"Sebaliknya, kekecohan dipercayai bermula apabila penyokong pasukan pelawat membakar dan melempar mercun ke arah penyokong tuan rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjelaskan empat insiden tular yang berlaku pada hari perlawanan.

Dalam kenyataan sama, Selangor FC memaklumkan bahawa 170 pegawai keselamatan dan anggota polis dikerahkan pada hari kejadian, dengan semua anggota berada dalam kedudukan bersiap siaga di setiap lokasi bagi menangani sebarang insiden.

"Kami tidak sesekali menyokong sebarang tingkah laku yang mengancam keselamatan dan stadium bola sepak seharusnya menjadi ruang selamat untuk semua penyokong serta penonton menikmati perlawanan dengan aman,” tegasnya.

Susulan keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM, Selangor FC akan mengemukakan rayuan bagi menyemak semula hukuman dikenakan, dan berharap pertimbangan dapat dibuat sebelum aksi timbal balik separuh akhir Piala FA pada 30 November ini.

Sementara itu, EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, menyifatkan hukuman yang dikenakan ketika ini sebagai agak keras dan keterlaluan.

“Rayuan akan dibuat oleh pihak pengurusan. Jika ada dakwaan kurang tepat, ia wajar dibantah. Kita berharap FAM dapat membuat pertimbangan semula,” katanya.

Sebelum ini, Selangor FC dikenakan denda RM100,000 dan diarahkan beraksi tanpa penonton untuk dua perlawanan Piala FA susulan insiden ‘panas’ membabitkan tingkah laku penyokong pada pertemuan dengan Negeri Sembilan FC.