PM Anwar terima kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

17 Nov 2025, 9:56 AM
PM Anwar terima kunjungan Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu

SHAH ALAM, 17 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Dato’ Fadlun Mak Ujud, bagi membincangkan beberapa agenda utama berkaitan pembangunan ibu negara.

Menurut Anwar, perbincangan memberi tumpuan kepada pengukuhan projek River of Life, penyelarasan pembangunan bandar secara lebih terancang, mempercepat proses kelulusan One Stop Centre (OSC) serta penambahbaikan ekosistem penjaja dan peniaga kecil supaya mereka terus diberi ruang dan sokongan dalam ekonomi bandar raya.

"Saya yakin, kepakaran profesional dan pengalaman beliau sebelum ini akan memperkukuh pelaksanaan pembangunan yang lebih mampan, seterusnya memastikan Kuala Lumpur terus melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai Madani," katanya menerusi Facebook.

Fadlun, 58, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu menggantikan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif yang menamatkan perkhidmatan pada 14 November dan memulakan tugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas pada 17 November.

Pelantikan Fadlun telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras dengan Subseksyen 4 (2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Fadlun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah dan pengurusan bandar raya.

Sebelum pelantikan ini, beliau menyandang sebagai Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022. Selain itu, Fadlun juga Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia.

Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Datuk Bandar baharu itu serta menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan pencapaian mantan Datuk Bandar, Maimunah dalam memperkukuh imej Kuala Lumpur.