PUTRAJAYA, 13 NOV: Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif akan menamatkan perkhidmatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Nov ini dan memulakan tugas sebagai Penasihat Hartanah Petronas pada 17 November.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu bagi membolehkan Maimunah menyumbang kepakaran di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, yang bakal menerajui pembangunan mercu tanda baharu di Kuala Lumpur.
Petronas dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan mengenai pelantikan tersebut.
Shamsul Azri berkata tempoh pelantikan Maimunah dipendekkan selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menetapkan tempoh baharu iaitu dari 15 Ogos 2024 hingga 14 Nov 2025.
“Keputusan tersebut mengambil kira keperluan perkhidmatan serta kepakaran luas Datuk Seri Maimunah dalam perancangan bandar berteraskan pembangunan lestari, selaras dengan pengalaman antarabangsa beliau ketika mengetuai UN-Habitat sebagai Pengerusi Eksekutif.
“Kerajaan yakin penempatan baharu ini akan membolehkan beliau terus menyumbang kepimpinan strategik kepada negara melalui projek berkepentingan nasional,” katanya.
Shamsul Azri berkata sepanjang mengetuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Maimunah mencatatkan pelbagai pencapaian signifikan, termasuk memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan DBKL berasaskan integriti serta pengurusan organisasi yang cekap dan berkesan.
Hasil kepimpinan transformasi itu, DBKL berjaya keluar daripada kedudukan defisit apabila mencatat lebihan semasa RM27.6 juta pada 2024, berbanding defisit RM75.3 juta pada 2023 dan RM283 juta pada 2022.
Prestasi ini, menurutnya, menggambarkan kejayaan pelaksanaan langkah penambahbaikan kewangan dan pengurusan perbelanjaan secara berhemat, cekap dan strategik.
“Selain itu, Datuk Seri Maimunah turut berjaya meletakkan DBKL di pentas antarabangsa melalui pelbagai inisiatif pengantarabangsaan Kuala Lumpur, termasuk kerjasama strategik dengan UNICEF melalui Program Cash Plus dan Child-Friendly City Initiatives.
“Beliau juga memainkan peranan penting dalam penganjuran Forum Perbandaran Mampan ASEAN, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya.
Shamsul Azri berkata usaha Maimunah dalam memperkasakan agenda bandar hijau dan mampan turut terserlah menerusi pelaksanaan komitmen menjadikan Kuala Lumpur bandar karbon sifar, berdaya huni serta berdaya tahan iklim.
Antara inisiatif yang diterajuinya ialah Inisiatif Sifar Sisa, Lingkaran Hijau dan Program Daya Tahan Iklim Bandar (UCRP), yang kesemuanya mencerminkan pendekatan menyeluruh dalam membangunkan bandar masa hadapan.
Kepimpinan Maimunah turut diiktiraf dengan pelbagai anugerah berprestij di peringkat domestik dan antarabangsa, antaranya Anugerah Kepimpinan Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PCRA) 2024, Anugerah Nona Superwoman 2024 serta Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik (Bandar raya) 2025 sempena Anugerah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau juga menerima pengiktirafan ‘Women of the Decade’ daripada Women Economic Forum selain dinobatkan sebagai penerima Leadership Award 2025 daripada Fira de Barcelona di World Smart City Expo 2025.
Shamsul Azri berkata kerajaan percaya bahawa pengalaman dan keunggulan kepimpinan Maimunah akan membolehkan beliau memastikan projek mercu tanda Kuala Lumpur yang bakal diterajui di bawah GLC berkenaan dapat direalisasikan dengan sempurna dan selaras dengan aspirasi MADANI bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan atas jasa, bakti dan legasi kepimpinan yang membanggakan sepanjang tempoh Maimunah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.




