KUALA LUMPUR, 17 NOV: Memorandum mengenai cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) yang bertujuan menyiasat kemalangan jalan raya akan dibentangkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri, Rang Undang-Undang MTSB akan dibentangkan di Parlimen.
“Bagi mencapai sasaran penubuhan MTSB, sepanjang Mei hingga Oktober tahun ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengadakan sesi libat urus bersama agensi dan pihak berkepentingan.
“MOT juga akan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan Sabah dan Sarawak, bengkel cadangan perjawatan, penyediaan draf rang undang-undang serta pindaan undang-undang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai kekangan utama yang menghalang penubuhan MTSB, yang dicadangkan sejak hampir 11 tahun lalu, memandangkan kadar kemalangan jalan raya masih tinggi dan keperluan memperkukuh aspek keselamatan dalam sektor pengangkutan.
Loke berkata sehingga MTSB ditubuhkan, MOT akan meneruskan mekanisme pewujudan jawatankuasa khas siasatan kemalangan, seperti dalam kes kemalangan membabitkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan dan kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.
Menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain mengenai cadangan mewujudkan MTSB sebagai agensi bebas seperti Australian Transport Safety Bureau (ATSB), Loke berkata model struktur MTSB masih belum dimuktamadkan.
Bagaimanapun, beliau berkata kementerian mengambil kira pandangan serta membuat perbandingan dengan agensi keselamatan pengangkutan antarabangsa, selain mempertimbangkan amalan terbaik yang diguna pakai di luar negara.
“Apa sahaja agensi siasatan, sudah tentu ada kebebasan. Malah task force yang kita bentuk sekarang ini memang bebas melaksanakan siasatan dan mengemukakan apa sahaja syor.
“Dari segi kementerian, apabila laporan itu disiapkan, ia tidak akan diedit atau dipinda dan akan dibentangkan secara terbuka, seperti yang telah saya laksanakan,” katanya.




