ad

PM prihatin isu gaji wartawan Sabah, janji tindakan segera

16 Nov 2025, 6:08 AM
PM prihatin isu gaji wartawan Sabah, janji tindakan segera
PM prihatin isu gaji wartawan Sabah, janji tindakan segera
PM prihatin isu gaji wartawan Sabah, janji tindakan segera

KOTA KINABALU, 16 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan terhadap isu kebajikan dan kadar pendapatan rendah dalam kalangan wartawan Sabah yang masih membelenggu industri media tempatan.

Perkara itu dizahirkan selepas mendengar sendiri luahan lebih 50 pengamal media Sabah dan Semenanjung dalam satu pertemuan sempena lawatan rasmi beliau ke negeri tersebut hari ini.

Antara yang dikongsikan termasuk kes seorang wartawan berpengalaman hampir sedekad tetapi hanya menerima kadar sekitar gaji minimum, mencerminkan realiti mencabar pengamal media di Sabah.

“Keadaan ini tidak harus berlarutan. Saya akan meneliti perkara ini secara dekat untuk mencari pendekatan yang sesuai bagi menjaga kebajikan pengamal media di Sabah dan seluruh negara,” katanya menerusi Facebook.

Anwar turut menekankan kepentingan melindungi peranan media yang kini berdepan cabaran besar berikutan lambakan maklumat palsu, fitnah dan manipulasi politik yang boleh menggugat kestabilan negara.

“Media yang beretika dan berimbang adalah benteng kebenaran serta pemangkin kepercayaan rakyat. Saya amat menghargai dedikasi dan sumbangan kalian dalam menegakkan kebenaran,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyatakan pendirian tuntas Kerajaan Madani terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah.

Menurutnya, kerajaan juga telah memutuskan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak demi memperkukuh prinsip perwakilan adil dalam sistem demokrasi negara.

Pertemuan bersama media itu menjadi platform terbuka kepada Perdana Menteri untuk menjawab isu semasa serta mendengar sendiri pandangan dan teguran terus daripada lapangan.

“Terima kasih setulusnya buat pengamal media yang teguh berpegang pada pelaporan yang jujur, berimbang, profesional dan bertanggungjawab,” katanya.