SHAH ALAM, 16 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melarang penjualan dan pengiklanan produk makanan ASGG Gluta Genc Glow Gummies kerana dikesan mengandungi bahan aktif yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara.
Dalam kenyataan media hari ini, KKM menjelaskan produk berkenaan mengandungi bahan aktif Glutathione yang tidak tersenarai dalam senarai nutrien yang dibenarkan mengikut Peraturan 26, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Dengan itu, bahan ini tidak dibenarkan sebagai ramuan dalam makanan. Produk seumpama ini sepatutnya berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies tidak boleh dijual dan diiklankan untuk tujuan komersial, tegas kementerian.
KKM turut memaklumkan hasil semakan mendapati produk tersebut dijual di platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok. Sehingga 10 November, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan telah dikemukakan kepada penyedia platform berkenaan.
Menteri Kesihatan mengingatkan bahawa Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 melarang penambahan bahan tidak dibenarkan dalam makanan dan jika disabitkan, boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Peniaga dan pengedar termasuk yang beroperasi atas talian diarahkan untuk menghentikan serta-merta penjualan produk tersebut dan menyerahkannya kepada Pejabat Kesihatan Daerah untuk penyitaan.
Platform e-dagang serta media sosial juga diarah menamatkan penyiaraan iklan berkaitan produk berkenaan.
Sementara itu, pengguna yang sedang menggunakan produk terbabit disarankan menghentikan pengambilan segera serta mendapatkan nasihat profesional kesihatan.
“Sentiasalah bijak dan berhati-hati membeli makanan, elakkan produk yang dicampur bahan tidak dibenarkan,” jelas kenyataan itu.
Sebarang persoalan boleh diajukan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau melalui laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) dan Facebook rasmi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).




