SHAH ALAM, 16 NOV: Bomba mengambil masa 12 jam untuk memadam kebakaran sebuah treler membawa muatan logam oksida di Kilometer 28 Lebuhraya Elite menghala ke KLIA, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 9.25 malam dan tiba di lokasi 18 minit kemudian, lapor Berita Harian.
Menurut beliau sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dengkil, dibantu BBP Cyberjaya dan BBP Shah Alam, dikerah ke tempat kejadian.
“Kebakaran membabitkan treler terbakar 80 peratus. Api berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 9.25 pagi,” katanya.
Menurut beliau, operasi mengalihkan treler terbakar dilakukan secara berhati-hati kerana muatan mudah terbakar.
“Jengkaut tidak boleh digunakan kerana sentuhan besi boleh mencetus kebakaran semula. Treler dialihkan dengan menolak ke cerun setinggi 1.5 meter berlantaikan rumput,” jelasnya.




