ad

Congkak Hidup

16 Nov 2025, 12:30 AM
Congkak Hidup

Oleh Regina Ibrahim

Selaras usia segala prioriti nampaknya ditakdirkan berubah. Suatu ketika dahulu kalut bercermin, kononnya mahu berketerampilan menarik dan menyenangkan. Menafikan hasrat yang sukar untuk diluah. Segan diketahui orang adanya bunga dalam taman, memasang niat ingin memikat.

Menghadam khatam segala ilmu memikat tertera dalam majalah-majalah perempuan yang sering menyenaraikan sepuluh itu dan 10 ini sebagai perisai hidup sang hawa (tidak kiralah dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris) ditekuni bagaikan kitab sufi lagaknya aku dan rakan-rakan persekolahan, hingga lunyailah majalah Jelita tahun 1981 – mana pergi agaknya sang editor?

“Orang jantan ni kalau mahu dipikat, bukan penampilan semata-mata, perut nak kena jaga, rupa paras tak cukup sayang oi…!” Beredar pula pepatah terselindung orang tua.

Kak Asmah guru tidak rasmi, mengajar rempah-rempah tumisan, serbuk gulai gulaian berbeza, makna pecah minyak, santan cair, santan kental dan segala rahsia dapur. Orangnya bertuah diperturun segala didikan awrah emak, ilmu makanan barat pun dia cekap, rajin menghadiri persatuan wanita desa. Kek mentega? Puff berkerim? Segala mak nenek resepi pemanis mulut ada dalam gengamannya. Majlis pertunangan aku dengan Mohd Nizam Darus telah menjadi medan pembuktian kakak sulung.

Segala kemahiran darinya aku angkut masuk dalam raga kehidupan berumah tangga.

***

Sayangnya hidup berbelit dengan akar-akar rahsia, unik, tidak sama bagi tiap perempuan. Galurnya mungkin seiras, cuma kelok berbeza. Itulah yang melintas di fikiran setelah mengharungi kehidupan berumahtangga. Banyak hal nampaknya tidak selaras dengan bacaan terdahulu – 10 rahsia memikat suami. Mana dengan urat-urat putus ketika melahirkan, debaran dikritik pasangan setelah menghidang, dijadikan pula pusat melepas tekanan, makanya pelayaran bahtera perkongsian semakin perlahan, meredap, membosankan, berpalit alasan menyakitkan dan aku yang bagaikan kekurangan ilmu lengkap mengadap hentaman badai perubahan. Perubahan waktu, fizikal dan hati, urutannya mana satu?

Abang Zam bukanlah lelaki yang sama 10 tahun lalu. Duka perempuan pedihnya mungkin sama sahaja, dingin tiba-tiba, kerap mengusulkan bahawa kami sudah tua (tua apalah pada usia 35 tahun?). Belum lagi ceramah-ceramah dadakan seolah memaksa aku jadi penonton, mangsa latihan pidato? Lantang semangat takwanya, lancang dirian politik berbahasa cerca. Apa kena mengena dengan aku? Entah-entah aku yang bodoh? Telinga tidak bersedia? Semua jadi barisan seksa jiwa sebenarnya.

Nusyuz, bahang api neraka, rambut terbelah tujuh jadi jambatan dan cerita-cerita mengerikan tidak dapat tidak membawa sejenis tekanan. Jauh benar pesongnya dari impian hidup bersama yang pernah dibayangkan, setelah tua kami akan terus berpegangan tangan, romantis dan penuh bahagia meraikan ulang tahun penikahan, sayang sekali itu semua sudah jadi agenda tidak penting lagi, itu semua dakyah barat!

Setelah bertudung bawal sifon, tidak ada perubahan apa-apa…, kemesraan tidak juga bertambah, mengutuk jadi nombor satu pula. Banyak pertikaian, serba tak kena. Hey! Itu satu pengorbanan. Cita rasa fesyen telah aku terajang jauh. Padahal dahulu katanya warna rambutku dan tataan hujung rambut ke kakiku menjadikan dia tidur tidak lena.

Anak satu, fikiran celaru membawa buntu.

“Kita orang perempuan, kerja kena ada, harap berharap sungguhpun suami, tak sama. Duit sendiri, jiwa tak dirundung ralat…,” petua lagi dari Kak Asmah, membulatkan tekad aku mengusung satu satunya anak lelaki 15 tahun setelah ditalak, membakar kuih muih di lokasi sewa.

Galau lelaki tidaklah sama seperti wanita. Khabarnya subjek peralihannya cantik mulus, berambut ikal merah karat, bergaya rapi, benar, saat terserempak dari kejauhan terlihat persis imejan lamaku.

Jawapan? Kekal tidak bersua, malas pula kucari jawapannya.

***

Radio klasik memainkan lagu Tanpamu Kusepi lantunan Jamal Abdillah, tersenyum sinis aku mencari parkir di kejiranan, berhati-hati, takut nanti tular di mana-mana sesawang, tak pasal pasal tertekan emosi. Jangan buat main main zaman kamera di tangan dan manusia ketagihan perhatian. Lengkap bervideo nanti!

Riuh rendah bunyi ghairah bersahutan anak anak menakan di laman marmar depan rumah Kak Asmah.

Memanjangkan leher memantau..., Kak Asmah nampaknya sedang menyusun piring dan garfu di samping makanan-makanan lazat bertata rapi, ayam masak merah dan pulut kuning paling menonjol, terlihat sahaja kelibatku lansung bersuara, "masuklah Zah, kenapa riuh? Main apa budak budak tu seronok sangat?”

Sepintas terhimbaulah akan polosnya hidup kami di desa. Kak Asmah pakar gali lubang, cermat menyimpan biji-biji getah yang akhirnya berkilat setelah tersentuh minyak badan kami dan anak anak jiran di cuaca cerah berhimpun setiap petang, santai leka di bawah pohon rambutan. Nampaknya zaman telah menelan semuanya.

Sudah ada congkak kayu berukir cantik dari Pantai Timur dan papan plastik buatan negara China dan Taiwan. Teringin melihat papan congkak anak-anak bangsawan, hadir sahaja ke muzium. Benar ia permainan rakyat yang menyimpan falsafah hidup. Perubahan pasti terjadi membawa derap bunyi berbeza…, biji getah? Biji saga? Terkini guli-guli kaca.

Sama seperti susunan resepi-resepi masakan, dari Kak Asmah sudah kutahu bahawa papan congkak tradisional mempunyai 16 lubang. 14 lubang digelar kampung, masing-masing dapat 7 kampung dan 2 lubang sedikit besar dipanggil rumah di hujung papan.

Terkenang-kenang bagaimana Kak Asmah menangis, ratapannya hiba, saat ayah membaling semua biji getah kesayangannya ke arus sungai. Masih tergambar marahnya ketika itu, terngiang-ngiang setiap melihat sebarang papan congkak. Jelas dan penuh sesal, "mainan orang miskinpun ayah nak marah, kita tak mintapun mainan mahal-mahal dari pekan sebab tahu kita tak mampu!"

“Engkau tu dah anak dara dah… LCE hujung tahun ni, kalau tak lulus apa nak jadi?” arwah emak menokok tambah dengan mata terjegil seolah meminta kami diam, jangan protes ayah!

Kak Asmah mungkin lupa, aku sudah lama menimbun kegigihan sewaktu melihat dia mengorek lubang dengan sudu buruk atas tanah, setelah lubang congkak tanah ala kampung dilanda banjir atau lesap akibat hujan lebat, bijaknya dia merancang regu antara kami, matanya cekap menangkap penipu congkak dan keberanian melintasi hutan getah mengutip biji-biji sewaktu pulang dan pergi sekolah demi keriangan adik adik.

Gigihnya tidak hilang, tabah menggalas tugasan ibu tunggal, kekal pintar menyusun urusan penyatuan keluarga, yang sudi ayuh kemari, yang banyak ulah silakan pergi!

"Hidup ni macam main congkak la Zah, kau cekap pusing, pandai congak dalam kepala, cepat melangkah…, tidak teragak, jalanlah hidup..., kadang kadang kena cepat tangkap peluang..., jika sempat tikam jangan tak tikam..., menipu diri jangan sekali!" antara nasihatnya ketika Abang Zam berubah hati dulu...

“Ingat tak congkak kita bawah pokok dulu?”

“Ingat pastilah ingat…, masuk! Masuk! Masuk semua kita nak tiup lilin ni…,” suaranya nyaring memberi arahan, mungkin juga merubah topik.