ad

PRN Sabah: Proses penamaan calon lancar, tiada laporan diterima - Polis

15 Nov 2025, 12:19 PM
PRN Sabah: Proses penamaan calon lancar, tiada laporan diterima - Polis

KOTA KINABALU, 15 NOV: Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 hari ini berjalan lancar dan tiada laporan polis diterima sepanjang tempoh berkenaan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada semua calon serta penyokong kerana menunjukkan komitmen tinggi untuk memastikan proses penamaan calon berlangsung tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Saya menyeru semua pihak untuk mempertahankan semangat profesional ini dan bersama-sama mencipta sejarah bahawa pilihan raya ini berjalan tanpa insiden dan tidak ada laporan polis hinggalah tamat proses pengundian pada 29 Nov ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perjalanan Penamaan Calon PRN Sabah Ke-17 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Jauteh berkata operasi penguatkuasaan bermula seawal 5 pagi melibatkan 4,771 pegawai dan anggota polis bertugas di semua 25 pusat penaman calon di seluruh negeri.

"Selain di pusat penamaan calon, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menempatkan pegawai dan anggota di beberapa lokasi awam untuk memastikan kelancaran lalu lintas seperti biasa,” katanya.

Jauteh turut mengingatkan penganjur aktiviti kempen supaya memohon permit daripada polis terlebih dahulu, khususnya bagi program melibatkan kawasan awam berpenduduk ramai.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php