Oleh SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 15 NOV: Penggiat seni tempatan menyokong inisiatif Kerajaan Selangor untuk mewujudkan program ‘gallery hopping’, namun menekankan pelaksanaannya perlu dilakukan secara menyeluruh dan teratur agar memberi kesan sebenar kepada masyarakat.
Pelukis Jalaini Abu Hassan berkata program berkenaan adalah budaya baharu di Malaysia yang berpotensi mempamerkan karya unik mengikut identiti setiap kawasan, tetapi galeri perlu mencukupi dan melibatkan kerjasama swasta.

“Budaya ini bagus, tetapi persoalannya, adakah galeri di Selangor mencukupi? Adakah ia hanya melibatkan galeri kerajaan atau turut membabitkan kerjasama dengan galeri swasta?
“Saya mencadangkan lebih banyak galeri kecil dibuka di kawasan tumpuan seperti bandar, atau diwujudkan konsep satu daerah satu galeri,” katanya selepas sesi Bual Bicara Seni sempena Pameran dan Bazar Seni Amal Harapan di Galeri Shah Alam, hari ini.
Beliau menambah, 'gallery hopping' perlu lebih daripada sekadar pameran karya seni, sebaliknya diisi dengan aktiviti seperti bazar, jualan, aktiviti kanak-kanak dan penyertaan pelajar serta komuniti untuk menjadikan program lebih interaktif dan berimpak.
Seorang lagi pelukis Badruddin Syah Abd Wahab menegaskan kepentingan pelaksanaan yang tersusun agar masyarakat dapat melihat pelbagai karya dan memahami hubungan seni dengan masyarakat.

“Tujuan Kerajaan Negeri mungkin untuk memberi kefahaman lebih jelas tentang bagaimana seni dan masyarakat boleh bergerak seiring. Namun begitu, aspek promosi perlu dipertingkatkan,” katanya.
Pengarah Komunikasi dan Tadbir Nadi Seni Resources Shareena Shahridan menyifatkan program ini langkah baik untuk menghidupkan industri seni Selangor, tetapi menekankan pengurusan penggiat seni perlu diperincikan agar impak maksimum dapat dicapai.

“Penggiat seni sekarang banyak bergantung kepada Balai Seni Negara. Saya berharap dengan adanya program 'gallery hopping', pendedahan lebih meluas dapat diberikan kepada masyarakat mengenai dunia seni.
“Peruntukan RM500,000 itu pula, adakah ia geran kepada pengusaha atau pengkarya seni? Jika ada geran khusus untuk penggiat seni, itu sangat baik dan boleh membantu menggerakkan lebih banyak program seni,” katanya.
Semalam, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi menghidupkan industri seni negeri melalui pelbagai program dinamik termasuk 'gallery hopping' dan pameran bertema sepanjang 2026.







