ad

Kukuh harmoni antara agama, bantuan golongan bukan Islam ditingkatkan

14 Nov 2025, 11:01 AM
Kukuh harmoni antara agama, bantuan golongan bukan Islam ditingkatkan

SHAH ALAM, 14 NOV: Bantuan Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) meningkat daripada RM6 juta kepada RM8 juta bagi memperkukuh keharmonian antara agama.

Pada masa sama, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen bagi membina krematorium yang digazetkan di Kuala Selangor.

“Pada 2025, peruntukan LIMAS diselaraskan semula bagi menampung permohonan pembinaan semula dan pemulihan rumah ibadat bukan Islam yang uzur, menjalankan program pendidikan dan kesedaran antara agama, serta memperkukuh perpaduan sosial melalui aktiviti komuniti yang inklusif.

“Langkah ini sejajar aspirasi Selangor sebagai negeri yang peduli, progresif dan harmoni,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di sini, hari ini.

Amirudin menamba, Orang Asli Selangor turut menerima RM500,000 pada tahun hadapan bagi meneruskan agenda membantu dan memperkasa golongan berkenaan.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil peranan yang sama besar dengan persekutuan dalam merencanakan pelbagai program bagi memastikan masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang semakin mencabar,” katanya.