ad

Penjawat awam Selangor terima lagi bantuan khas satu bulan setengah gaji

14 Nov 2025, 10:18 AM
Penjawat awam Selangor terima lagi bantuan khas satu bulan setengah gaji
Penjawat awam Selangor terima lagi bantuan khas satu bulan setengah gaji

SHAH ALAM, 14 NOV: Satu bulan setengah gaji lagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) akan disalurkan kepada penjawat awam Selangor pada 18 Disember ini, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan bantuan itu sebahagian tiga bulan gaji yang disalurkan awal tahun ini sebagai penghargaan dan dorongan khidmat mereka.

"Bantuan ini termasuk pemberian kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan Kampung Baru, Bagan, dan Tersusun, ketua komuniti India, penyelia Wanita Berdaya, serta Penggerak Belia Selangor yang akan menerima satu bulan elaun,” katanya.

Memaklumkan perkara itu dalam sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2026 hari ini, jelasnya, petugas masjid pula menerima RM500 sumbangan negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Dalam pada itu, Amirudin berkata BKK yang tidak diumumkan dalam belanjawan hari ini tidak mengganggu proses perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2026.

“Tiada, kenapa mahu terganggu pula. Ada dalam teks, dan apa-apa yang ada dalam teks itu dianggap sebagai sebahagian daripada ucapan”," katanya.

Tahun lalu, Selangor mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji yang dibayar berperingkat.