ad

Selangor tubuh dana semikonduktor, pacu inovasi syarikat pemula tempatan

6 Nov 2025, 9:20 AM
Selangor tubuh dana semikonduktor, pacu inovasi syarikat pemula tempatan

CYBERJAYA, 6 NOV: Kerajaan negeri melancarkan Dana Semikonduktor Selangor atau Ehsan Capital bagi memacu inovasi serta menyokong syarikat permulaan tempatan dalam bidang reka bentuk cip dan teknologi semikonduktor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan yang akan mula beroperasi bulan ini menyasarkan pengumpulan modal sebanyak RM100 juta, dengan fokus kepada pelaburan sekurang-kurangnya tujuh syarikat permulaan semikonduktor tempatan yang berpotensi tinggi.

Inisiatif ini dibangunkan melalui agensi negeri iaitu Perbadanan Teknologi, Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB), dengan kerjasama Artem Venture Fund.

“Dana ini bukan sekadar instrumen kewangan, tetapi merupakan komitmen jangka panjang kerajaan negeri untuk memupuk bakat tempatan serta memperkukuh penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi semikonduktor,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor kedua di sini hari ini.

Amirudin berkata inisiatif ini melengkapi dasar Pembangunan Ekonomi Tempatan (LED), yang menetapkan keperluan kandungan tempatan sebanyak 30 peratus bagi semua pelaburan pusat data baharu supaya memberi manfaat langsung kepada firma, penyedia teknologi dan pekerja Malaysia.

Beliau menambah, dasar tersebut selaras dengan agenda nasional transformasi industri dan semikonduktor.

Katanya lagi, dasar ini turut menyokong dasar Speed Selangor yang dilancarkan bulan lalu, bertujuan mempercepat kelulusan projek dan pembangunan infrastruktur bagi menarik pelaburan bernilai tinggi.

“Kesemua inisiatif ini, daripada taman reka bentuk IC dan Dana Semikonduktor Selangor, sehinggalah dasar LED dan Speed Selangor, akan menyokong visi jangka panjang kita untuk menjadikan Selangor pemacu utama ekosistem digital Malaysia serta pemain global dalam inovasi semikonduktor,” katanya.

Amirudin turut memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (Asem), termasuk Program Kecemerlangan Semikonduktor Nasional dan Program Pertukaran Semikonduktor Global, atas sumbangan mereka dalam memajukan aspirasi Selangor dalam bidang semikonduktor.