UPSR wajar dikembalikan elak pilih kasih, bentuk asas 3M pelajar

10 Nov 2025, 4:00 AM
UPSR wajar dikembalikan elak pilih kasih, bentuk asas 3M pelajar
UPSR wajar dikembalikan elak pilih kasih, bentuk asas 3M pelajar

SHAH ALAM, 10 NOV: Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan sejak lima tahun lalu wajar dikembalikan bagi mengelakkan wujudnya elemen pilih kasih guru terhadap pelajar, kata Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata peperiksaan berkenaan juga menjadi alternatif untuk memastikan murid menguasai ilmu asas 3M iaitu membaca, mengira dan mengeja.

“Jika tak ada UPSR, kita hanya adakan peperiksaan dalam kelas-kelas, dalam sekolah masing-masing sahaja. Saya rasa akan timbulnya elemen pilih kasih, ada subjektif dan subjugate.

“Tidak ada penilaian yang betul-betul menggambarkan suasana piawai kepada semua. Jadi ini sukar untuk kita membandingkan antara sekolah, negeri, institusi untuk menilai tahap pelajar,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menambah, pihaknya berharap kerajaan mewujudkan kembali peperiksaan dan penilaian universal demi masa depan generasi akan datang.

“Saya rasa hasrat ini bukan dari kami sahaja. Ramai juga dalam kalangan ibu bapa, persatuan guru-guru dan pendidik menyuarakan perkara ini supaya UPSR dikembalikan ke sekolah.

“Saya harap kerajaan akan meneliti lagi perkara ini dan ambil tindakan sewajarnya. Jangan jadikan perkara ini sebagai percubaan. Jangan tunggu tempoh sistem ini tamat, baru nak perkenalkan sistem terbaik,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk memansuhkan sepenuhnya UPSR bermula 2021.-fotoBERNAMA

Mulai 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.

Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata pemansuhan dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

Susulan pemansuhan UPSR, pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) diperkasa bagi murid yang berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan institusi khas lain.

Kelmarin, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyarankan agar pelaksanaan UPSR dipadankan dengan data raya, jentera pembelajaran dan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menilai potensi murid melangkaui pencapaian akademik.

Menyokong pandangan sama, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan pentaksiran nasional wajar dikembalikan bagi membentuk sahsiah murid secara menyeluruh.

Sementara itu, tokoh pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula mengakui peperiksaan diperlukan untuk menentukan intervensi memperbaiki kelemahan yang mungkin ada pada pelajar tertentu.