SHAH ALAM, 14 NOV: Peningkatan kes diabetes dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan pengambilan gula dan kalori berlebihan, kata pakar pemakanan.
Profesor Dr Hamid Jan Jan Mohamed dari Universiti Sains Malaysia menekankan, pemakanan seimbang perlu diterapkan sejak di rumah.
"Rumah merupakan madrasah pertama, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Kalau kita minum manis, minum minuman berkarbonat anak sudah tentu akan ikut.
"Kalau boleh latih diri kita dan anak-anak untuk terima makanan, minuman tawar, jangan membiasakan minum manis. Sekiranya mahu manis kita bagi alternatif air buah," katanya kepada Media Selangor.
Beliau menambah, kawalan pemakanan awal dapat mengurangkan risiko komplikasi diabetes, termasuk amputasi dan masalah penglihatan
"Penyakit seperti diabetes boleh memberi kesan serius jika tidak dikawal sejak awal dan boleh menyebabkan datangnya penyakit lain sehingga ada segelintir kakinya perlu dipotong, buta dan pelbagai lagi," katanya.
Berdasarkan data World Bank, Malaysia kini ke-13 dunia bagi penyakit diabetes, meningkat daripada ke-16 pada 2021, dengan ramai penghidap termasuk kanak-kanak dan golongan muda obes.
Sempena Sambutan Hari Diabetes Sedunia hari ini, pakar menegaskan isu ini sebagai krisis kesihatan kebangsaan yang memerlukan perhatian serius.




