Tubuh yang tampak kurus sering dianggap cerminan kesihatan, seolah-olah tiada ruang untuk penyakit menyelinap masuk.
Kencing manis, penyakit yang suatu ketika dahulu dikaitkan dengan usia senja, kini merayap masuk ke dalam kehidupan generasi muda.
Ia tidak memilih rupa, tidak menunggu tanda, hadir dalam diam seperti bayang yang perlahan-lahan memanjang tanpa kita sedar.
Menjaga kesihatan sejak usia muda bukan sekadar langkah pencegahan, tetapi pelaburan jangka panjang agar tubuh terus setia berkhidmat, tanpa penyakit yang muncul dalam diam.
Pensyarah kanan dan pakar Klinikal Perubatan Keluarga dari International Medical School (IMS), Management and Science University (MSU) berkata individu yang kelihatan kurus juga berisiko menghidap kencing manis.
Menurut Dr Haslina Mukhtar Aajamer, keadaan itu berlaku disebabkan wujudnya thin outside, fat inside, iaitu lemak viseral berkumpul di sekitar organ dalaman.
“Lemak ini lebih berbahaya kerana ia menyebabkan rintangan insulin walaupun berat badan kelihatan normal,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.
Pada usia muda, tubuh masih gagah menyesuaikan diri, menyembunyikan tanda penyakit di sebalik rutin harian yang kelihatan biasa.
Pada peringkat awal, kencing manis sering tidak menunjukkan sebarang gejala ketara, namun tubuh sebenarnya mula berbicara.
Ia menonjol melalui rasa cepat lapar dan haus, kekerapan membuang air kecil, jangkitan kulit yang sukar sembuh serta perubahan warna kulit yang menggelap di pelipat dan belakang leher.
“Ramai menyangka ia sekadar daki atau masalah remeh, sedangkan itulah bahasa awal tubuh meminta perhatian," katanya.

Remaja dan gaya hidup
Dalam dunia yang bergerak pantas, gaya hidup turut berubah.
Makanan manis, sajian segera dan amalan makanan tular menjadi teman harian remaja.
“Remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya dan kandungan media sosial, termasuk makanan viral yang tinggi gula dan lemak.
"Sedikit demi sedikit, tabiat ini membentuk risiko yang lebih besar, menanam benih penyakit dalam diam,” kata Dr Haslina.
Sebanyak 18.3 peratus pesakit kencing manis di Malaysia ada di Selangor, yang mana kes kini dikesan seawal usia 18 hingga 30 tahun.
Angka itu tidak lagi sekadar statistik, tetapi amaran ancaman ini semakin dekat dan masyarakat mula menyedari apabila penyakit sudah melangkah ke fasa komplikasi.
Namun di sebalik bayangan, penyakit masih ada ruang dan harapan. Kencing manis bukan hukuman mati, bukan noktah hidup tetapi boleh dirawat jika dikesan awal.
Dr Haslina menyeru perubahan minda, khususnya dalam kalangan generasi muda kerana penyakit yang muncul dalam diam hanya dapat ditewaskan oleh kesedaran yang hadir tepat pada masanya.
“Kesedaran untuk membuat saringan kesihatan secara berkala adalah benteng terbaik kerana diabetes boleh menyerang sesiapa sahaja, pada bila-bila masa,” pesannya.



