KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita 323 basikal pelbagai jenis dalam operasi khas membanteras aktiviti perniagaan tanpa lesen dan halangan awam di sekitar Jalan Tembeling, Taman Tasik Titiwangsa, di sini baru-baru ini.
Operasi pada 23 Julai lepas itu menyasarkan pengusaha aktiviti penyewaan basikal yang beroperasi secara haram dan dikendalikan oleh warga asing.
DBKL dalam hantaran di Facebook memaklumkan, siasatan mendapati pengusaha terbabit tidak hanya berniaga tanpa lesen, malah meninggalkan peralatan serta pelbagai jenis basikal dewasa dan kanak-kanak di tempat-tempat awam sekitar taman rekreasi berkenaan, untuk memudahkan akses kepada pengunjung.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah menyebabkan berlakunya halangan di kawasan laluan awam serta menimbulkan kacau ganggu ketara kepada persekitaran kawasan rekreasi awam,” menurut hantaran itu.
Lebih memburukkan keadaan, DBKL turut mengesan sikap segelintir pengusaha yang sengaja meninggalkan basikal-basikal rosak dan tidak boleh digunakan di kawasan lapang, belakang premis perniagaan, malah di sekitar tandas awam tanpa sebarang usaha untuk membersihkan atau melupuskannya dengan teratur.
“Hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan ke atas lima pengusaha basikal, DBKL telah membuat tindakan sita dan pindah barangan ke atas 323 buah pelbagai jenis basikal dewasa dan kanak-kanak, yang didapati beroperasi tanpa lesen.
“Kesemua basikal yang disita telah diangkut menggunakan lori penguat kuasa dan dihantar ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan penyimpanan serta dokumentasi lanjut,” menurut hantaran itu.
DBKL dalam hantaran itu memaklumkan tindakan tegas itu, diambil berasaskan peruntukan undang-undang di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 serta Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
Hantaran itu turut menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di semua lokasi tumpuan awam di ibu negara bagi memastikan kebersihan, keselamatan dan keharmonian persekitaran bandar raya terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau maklum balas berkaitan isu halangan tempat awam atau aktiviti perniagaan haram, disaran supaya menyalurkannya melalui saluran rasmi dan pautan aduan DBKL iaitu https://adukl.dbkl.gov.my/.
-- BERNAMA









