ad

Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan

13 Nov 2025, 12:00 PM
Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan
Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan
Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan
Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan
Minggu Setem 2025 hidupkan semula nostalgia animasi klasik tempatan

SHAH ALAM, 13 NOV: Program Minggu Setem 2025 yang berlangsung di Institusi Latihan Pos Malaysia menghidupkan semula nostalgia rakyat terhadap warisan animasi klasik tanah air.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad, Haidan Abdul Rahman berkata tema pameran tahun ini berteraskan animasi klasik tempatan yang membawa nilai sentimental dan sejarah tersendiri.

“Keunikan Minggu Setem tahun ini ialah pelancaran setem bertemakan animasi klasik tempatan. Animasi tersebut menampilkan empat reka bentuk baharu iaitu Anak-anak Sidek, Keluang Man, Yorkis dan Hikayat Sang Kancil.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Berhad, Haidan Abdul Rahman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Keempat-empat reka bentuk ini dikeluarkan buat pertama kali dan ditawarkan khas kepada peminat serta pengumpul setem,” katanya ketika ditemui di Bangi hari ini.

Beliau berkata program berkenaan juga dapat memastikan setem terus digunakan dan diingati.

"Bagi masyarakat, setem pastinya tidak asing, tetapi ia sering dilupakan. Dengan adanya program seperti ini secara berterusan, kita dapat mengingatkan mereka bahawa setem masih wujud, sah digunakan dan masih lagi diguna pakai. Itulah objektif dan tujuan utama program ini," katanya.

Sementara itu, pengurus fasiliti dan pengumpul setem tegar, Chung Kay Ho, meluahkan keterujaannya terhadap inspirasi setem yang berpaksikan karya tempatan serta pelancaran setem sempena pemerintahan Raja Perlis.

“Tema utama setem tahun ini diilhamkan daripada kartun yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Saya rasa itu sangat unik.

Pengurus fasiliti, Chung Kay Ho, 48. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Tahun ini juga terdapat banyak pelancaran setem baharu, namun saya paling berminat dengan setem sempena 25 tahun pemerintahan Raja Perlis. Saya datang dari Johor ke Perlis semata-mata untuk memperolehnya,” katanya.

Beliau turut berharap program ini terus diadakan serta mempromosikan hobi pengumpulan setem kepada masyarakat.

"Saya harap aktiviti ini dapat dikekalkan setiap tahun. Semakin ramai peminat setem akan timbul, disertai dengan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengenali setem, walaupun penggunaannya semakin berkurangan. Setem masih wujud dalam masyarakat, dan pengumpulannya boleh dianggap sebagai hobi yang istimewa,"katanya.

Antara setem yang terdapat ketika Minggu Setem di Institut Latihan Pos Malaysia, Bangi pada 13 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
Antara koleksi setem keluaran khas ketika Minggu Setem di Institut Latihan Pos Malaysia, Bangi pada 13 November 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR