SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan belum bercadang untuk menghapuskan hukuman mati sepenuhnya dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.
Beliau menegaskan hukuman mati masih kekal dalam sistem perundangan Malaysia sebagai salah satu bentuk hukuman jenayah yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah, bergantung kepada budi bicara hakim setelah meneliti fakta dan keadaan setiap kes, lapor Astro Awani.
“Pada masa ini, hukuman mati masih kekal dalam sistem perundangan Malaysia. Namun, moratorium pelaksanaan hukuman mati yang dipersetujui kerajaan sejak 2018 masih berkuat kuasa sehingga keputusan dasar utama ditentukan berkenaan hala tuju hukuman mati di Malaysia,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh di Dewan Rakyat.
Ramkarpal bertanya sama ada kerajaan bercadang menghapuskan hukuman mati sepenuhnya dalam masa terdekat dan jika kajian menyeluruh akan dijalankan bagi tujuan tersebut.
Kulasegaran menjelaskan, sebarang keputusan penghapusan hukuman mati akan dibuat selepas kajian komprehensif dan libat urus dengan semua pihak selesai.




