ad

MBSA tingkat pemantauan 28 lokasi tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

12 Nov 2025, 8:38 AM
MBSA tingkat pemantauan 28 lokasi tumpuan hadapi Monsun Timur Laut
MBSA tingkat pemantauan 28 lokasi tumpuan hadapi Monsun Timur Laut

SHAH ALAM, 12 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenalpasti 28 lokasi tumpuan dan 17 kawasan berisiko bencana, menjelang musim tengkujuh atau monsun timur laut (MTL) yang dijangka bermula esok.

Pengarah Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata pihaknya meningkatkan tumpuan di semua lokasi terbabit bagi membolehkan persediaan dan perancangan awal dapat dilaksanakan.

“Kita menambah kecekapan pemantauan di tapak untuk lokasi tumpuan dan berisiko yang telah dikenalpasti. Selain itu, MBSA juga menyelenggara serta membaik pulih semua longkang rosak.

“Semua pam milik MBSA juga dalam keadaan siap siaga dan berfungsi dengan baik, dan kami turut berhubung baik dengan agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada Media Selangor.

Mohd Fauzi memaklumkan, sepanjang tahun ini hanya tiga lokasi yang dilanda bencana banjir iaitu Seksyen 30, Kampung Baru Hicom di Seksyen 36 dan Persiaran Sukan di Seksyen 13.

Tambahnya, MBSA juga telah menyelanggara semua peralatan dan jentera sedia ada bagi memastikan ia berfungsi dengan baik, selain menggiatkan latihan serta kursus kepada kakitangan.

“Tiada pembelian jentera pada tahun ini. Namun kami melakukan penyelenggaran terhadap semua peralatan dan jentera bagi memastikan ia dapat digunakan dengan baik apabila diperlukan nanti,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan MTL dijangka bermula esok dan berterusan sehingga Mac tahun depan, dengan lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.

Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilapor berkata hujan lebat berterusan selama beberapa hari boleh menyebabkan banjir di kawasan berhampiran sungai serta kawasan rendah.

Berikut senarai 17 lokasi berisiko banjir di Shah Alam:

Zon Utara:

  • TTDI Jaya, Seksyen U2

  • Taman Saujana Indah 1, Seksyen U2

  • Jalan Hamzah, Kampung Budiman, Seksyen U14

  • Paya Jaras, Seksyen U19

  • Persiaran Setia Impian, Seksyen U13

  • Persiaran Setia Indah, Seksyen U13

  • Jalan Besar Meru-Klang, Seksyen U13

  • Persiaran Setia Perdana, Seksyen U13

  • Kampung Melayu Subang Tambahan, Seksyen U5

Zon Tengah:

  • Seksyen 18

  • Seksyen 19

  • Seksyen 20

  • Seksyen 23

  • Seksyen 24

Zon Selatan:

  • Kampung Lombong, Seksyen 29

  • Lot 1935, Seksyen 32

  • Lorong 6 dan Lorong 7, Sg Kandis, Seksyen 36