ad

Kerajaan tidak sekat kebebasan media, pastikan maklumat sampai kepada rakyat

12 Nov 2025, 7:28 AM
Kerajaan tidak sekat kebebasan media, pastikan maklumat sampai kepada rakyat

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan komited menyampaikan dasar dan pendirian secara terbuka tanpa menekan atau menyekat kebebasan media, tegas Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.

Beliau berkata, pendekatan itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat berhubung inisiatif dan polisi yang dilaksanakan kerajaan.

“Jabatan Penerangan (JaPen) melalui JaPen Digital juga secara konsisten menyebarkan maklumat sahih berkaitan kejayaan kerajaan, selain menangkis berita palsu yang tular dalam talian,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Teo berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenal Artificial Intelligence Fact Check Assistant (AIFA) bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita melalui aplikasi WhatsApp.

Katanya, platform itu menerima purata 760 mesej sehari sejak dilancar pada 28 Januari hingga 31 Oktober, sekali gus menunjukkan semakin ramai rakyat mengetahui kewujudannya.

“AIFA diharap menjadi alat berkesan membantu rakyat membezakan antara berita sahih dan palsu,” katanya.