KOTA KINABALU, 12 NOV: Mahkamah Koroner di sini hari ini menamatkan sesi keterangan secara tertutup dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir selepas memanggil 35 saksi kanak-kanak.
Saksi kanak-kanak terbabit, yang mula memberi keterangan pada 22 Sept lepas di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Pindaan 2024), selesai berbuat demikian pada hari ke-36 prosiding inkues.
Sepanjang sesi tertutup itu, petugas media tidak dibenarkan berada di dalam mahkamah bagi melindungi identiti kesemua saksi selaras dengan peruntukan akta berkenaan, yang melarang sebarang penerbitan maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues itu, mengesahkan bahawa saksi kanak-kanak terakhir telah selesai memberi keterangan.
Beliau berkata pendengaran inkues akan bersambung Isnin depan, dengan sembilan guru dan pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar dijangka memberi keterangan.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sehari sebelum itu di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi.
Pada 13 Ogos lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengumumkan bahawa satu inkues akan dijalankan bagi menyiasat punca kematian pelajar itu selepas meneliti laporan siasatan polis.
Sebelum itu, pada 8 Ogos lepas, AGC telah mengarahkan agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
-- BERNAMA




