ad

YANIS teruskan saringan awal bantu pembangunan kanak-kanak istimewa di Kuala Selangor

12 Nov 2025, 4:27 AM
YANIS teruskan saringan awal bantu pembangunan kanak-kanak istimewa di Kuala Selangor

SHAH ALAM, 12 NOV: Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) meneruskan komitmen dalam membantu anak-anak istimewa melalui pelaksanaan Program Saringan ANIS di Kuala Selangor, baru-baru ini, bagi mengenal pasti perkembangan kanak-kanak dan melaksanakan intervensi awal secara berkesan.

YANIS memaklumkan bahawa saringan dijalankan oleh pasukan profesional yang terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga dan Kanak-kanak, Jurupulih Perubatan Cara Kerja, Jurupulih Pertuturan, Jurupulih Fisioterapi serta Audiologis.

“Seramai 20 kanak-kanak menjalani saringan dalam program ini dengan hasil pemeriksaan menunjukkan enam kes disyaki autisme, tiga kes disyaki sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), empat kes masalah pembelajaran, tiga kes kelewatan pertuturan dan tiga lagi melibatkan masalah perkembangan,” menurut YANIS dalam kenyataan.

Program yang berlangsung di Klinik Kesihatan Jeram pada 8 November lalu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKN Selangor) melalui Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKD Kuala Selangor).

YANIS berharap ibu bapa lebih memahami keperluan anak-anak mereka, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan perkhidmatan intervensi awal yang tepat dan berkesan melalui inisiatif berkenaan.

Langkah tersebut menjadi antara usaha berterusan Kerajaan Negeri melalui YANIS dalam memperkukuh pembangunan anak-anak istimewa di negeri ini agar mereka dapat dibimbing ke arah potensi terbaik.