SHAH ALAM, 12 NOV: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak memprovokasi dan menggugut Bailif Mahkamah Tinggi Shah Alam dan anggota polis yang menjalankan tugas di sebuah rumah di Pandamaran, Klang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramli Kasa berkata dalam kejadian kira-kira 3.30 petang semalam pegawai mahkamah dan anggota polis terbabit sedang menyempurnakan writ saman Mahkamah Tinggi di premis terbabit.
"Seorang lelaki yang berada di dalam premis tersebut memprovokasi pegawai mahkamah itu dan anggota polis, dengan bertindak memecahkan botol kaca serta melafazkan kata-kata ugutan.
"Tangkapan terhadap lelaki warga tempatan itu dibuat atas kesalahan menghalang penjawat awam untuk menjalankan tanggungjawab dan ugutan jenayah. Siasatan lanjut akan diteruskan," katanya dalam kenyataan.
Beliau dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan atau bakal berdepan tindakan undang-undang.




