Cadangan kembalikan UPSR perlu diteliti, libatkan ibu bapa dan guru - MB

11 Nov 2025, 10:01 AM
Cadangan kembalikan UPSR perlu diteliti, libatkan ibu bapa dan guru - MB
Cadangan kembalikan UPSR perlu diteliti, libatkan ibu bapa dan guru - MB
Cadangan kembalikan UPSR perlu diteliti, libatkan ibu bapa dan guru - MB
Cadangan kembalikan UPSR perlu diteliti, libatkan ibu bapa dan guru - MB

HULU LANGAT, 11 NOV: Cadangan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu diteliti secara menyeluruh dan tidak boleh dibuat tergesa-gesa, tegas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, dasar pendidikan negara perlu dilaksana secara konsisten dan setiap perubahan mesti mengambil kira pandangan pihak berkepentingan, terutama ibu bapa dan guru.

“Setelah kita mengambil beberapa langkah untuk menghapuskan peperiksaan, ada baiknya kita lihat perkara itu secara menyeluruh sekali lagi.

"Kalau nak buat sebarang perubahan, kita tak boleh tergesa-gesa dan perlu melihatnya dari sudut lebih luas. Keterlibatan ibu bapa dan guru amat penting kerana mereka kelompok terlibat secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Asrama Pekerja Asing (PAPA) di kawasan perindustrian Kampung Baru Balakong di sini, hari ini.

Amirudin turut menekankan penilaian penguasaan 3M (membaca, mengira, mengeja) tidak semestinya bergantung pada peperiksaan semata-mata, sebaliknya boleh dilaksanakan melalui tugasan, pemerhatian dan pentaksiran berasaskan kelas secara holistik.

Jelasnya, laporan amalan 3M boleh diperoleh daripada guru melalui pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid, sekali gus membolehkan intervensi awal dilaksanakan bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Sebelum ini, Media Selangor melaporkan Pengerusi Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan mencadangkan UPSR yang dimansuhkan lima tahun lalu dikembalikan bagi mengelak elemen pilih kasih guru terhadap pelajar.

UPSR dimansuhkan sepenuhnya pada 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) turut dibatalkan pada tahun sama susulan libat urus pelbagai pihak selepas peperiksaan itu ditangguhkan pada 2020 akibat pandemik Covid-19.