SHAH ALAM, 11 NOV: Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai penyumbang utama industri aeroangkasa negara dengan menyumbang lebih 60 peratus kepada keseluruhan sektor di Malaysia, hasil inisiatif bersepadu melibatkan kerajaan negeri, agensi pelaburan serta rakan industri.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu bukan sahaja hasil usaha kerajaan pusat dan negeri, tetapi turut dipacu oleh kelebihan prasarana dan ekosistem lengkap yang dimiliki Selangor.
“Selangor telah lama menjadi nadi industri aeroangkasa Malaysia. Dengan kewujudan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, negeri ini menjadi pusat utama bagi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), logistik serta pembuatan komponen pesawat,” katanya.
Ditemui ditemui di Seminar Pelaburan Utama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini, Amirudin memberitahu pentadbirannya turut menekankan kepentingan kerjasama antara negeri dalam membangunkan rantaian nilai industri aeroangkasa.
“Jika setiap negeri bergerak secara silo, kita mungkin membina kapasiti tetapi tidak mampu melahirkan perusahaan aeroangkasa bertaraf global.
"Namun dengan sinergi antara Pusat Penyelidikan Teknologi Komposit Malaysia (CTRM) di Melaka, inisiatif di Negeri Sembilan serta kekuatan kewangan di Kuala Lumpur dan Selangor, Malaysia mampu melangkah lebih jauh,” katanya.
Selain itu, pembangunan bakat tempatan juga menjadi tumpuan utama melalui kerjasama universiti, institusi vokasional, serta pusat teknologi di seluruh negara bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang aeroangkasa dan teknologi rekaan cip.
“Dengan gabungan sumber manusia berkualiti, ekosistem kewangan kukuh dan gaya hidup seimbang, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk menjadi hab aeroangkasa serantau,” katanya.
Beliau yakin bahawa langkah memperkukuh kerjasama rentas negeri akan mempercepatkan usaha Malaysia menuju ke arah menjadi pusat aeroangkasa utama Asia Tenggara dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Amirudin berkata industri aeroangkasa kekal menjadi agenda utama jangka panjang negeri serta diberi tumpuan penting dalam Rancangan Selangor Kedua.
Beliau berkata Rancangan Selangor Pertama sudah menekankan kepentingan membangunkan hab khusus bagi industri untuk menarik lebih banyak syarikat aeroangkasa global ke Selangor dan Malaysia.
Tambahnya, pembinaan Taman Aero Selangor (SAP) akan memberi peluang kepada pemain aeroangkasa dan logistik untuk meluaskan jangkauan serta membolehkan lebih banyak pesawat menggunakan kemudahan penyelenggaraan di Selangor.






