SHAH ALAM, 11 NOV: Ringgit didagangkan pada paras RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikannya mata wang berprestasi terbaik di Asia ketika ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu dicatatkan meskipun kerajaan sebelum ini menerima kritikan ketika ringgit menyusut berbanding dolar AS.
“Dulu kita diserang bertubi-tubi kerana ringgit jatuh, tetapi apabila ringgit mengukuh, tidak pula disebut atau dipuji. Hari ini, ringgit berada pada RM4.16 bagi setiap dolar AS dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan mengenai keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI selepas 18 hingga 24 bulan.
Beliau menegaskan penilaian positif terhadap ringgit bukan ditentukan kerajaan, sebaliknya dipacu oleh keyakinan antarabangsa susulan penarafan kredit stabil oleh agensi S&P Global Ratings dan Moody’s Ratings, yang masing-masing mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A- dan A3.
Pada 6 petang semalam, ringgit mengukuh 0.4 peratus kepada 4.1555/1635 berbanding dolar AS daripada 4.1735/1775 ketika ditutup Jumaat lalu – paras tertinggi dalam tempoh 13 bulan selepas mencatatkan 4.1625 pada 2 Oktober 2024.
Setakat 8.01 pagi hari ini, ringgit terus mengukuh kepada 4.1540/1660 berbanding 4.1555/1635 ketika penutupan semalam.




