SHAH ALAM, 11 NOV: Usaha Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkukuh amalan hijau membuahkan hasil apabila berjaya menjimatkan penggunaan bil elektrik kira-kira RM600,000 setahun hasil pelaksanaan program kecekapan tenaga di beberapa bangunan miliknya.
Penjimatan itu menyamai penggunaan tenaga sebanyak 1.33 juta kWh setahun melibatkan 11 bangunan termasuk dewan awam MBPJ, sekali gus membuktikan pelaburan dalam sistem tenaga cekap memberi impak ketara terhadap kos operasi.
Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon berkata langkah tersebut sejajar dengan Pelan Tindakan Iklim PJ 2030 yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 33 peratus menjelang 2030.
Menurut beliau, MBPJ sudah melaksanakan audit tenaga di 11 bangunan sejak 2016 dan mulai 2019, 14 premis dilengkapi Sistem Pemantauan Data Tenaga Bangunan Dalam Talian (Bedos) bagi menjejak penggunaan elektrik secara masa nyata.
“Sejak 2015, kami merangka pelbagai pelan strategik untuk menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar rendah karbon dan lestari.
“Antaranya termasuk perkongsian ilmu, pengurusan tenaga sistematik, pelaksanaan audit, penggunaan sistem pemantauan tenaga dalam talian serta galakan pembinaan bangunan mesra alam,” katanya seperti dilapor The Star.
Mohamad Zahri turut mengakui antara cabaran utama ialah kos tinggi bagi kerja naik taraf terutama di bangunan lama.
“Di Menara MBPJ, Perpustakaan MBPJ dan Dewan Sivik, sistem pendingin hawa diganti dengan model lebih efisien, manakala di stadium, semua lampu dinaik taraf kepada lampu LED.
“Langkah pertama ialah audit tenaga kerana daripada data itu, kita boleh merancang bajet tahunan untuk kerja penambahbaikan,” jelas beliau.
Inisiatif berterusan MBPJ itu juga melayakkan pihak berkuasa tempatan tersebut menerima beberapa anugerah kebangsaan dalam bidang penjimatan tenaga, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen mereka memerangi perubahan iklim.
Katanya, pelaksanaan Pelan Bandar Rendah Karbon MBPJ bukan semata-mata untuk mengurangkan bil elektrik, tetapi menggambarkan tekad pihaknya meminimumkan kesan perubahan iklim dan meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar.




