SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri disaran membina lebih banyak rumah kos rendah di peringkat Parlimen dan DUN, bagi membolehkan rakyat menyewa kediaman pada harga murah.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, S Preakas berkata pembinaan rumah mampu milik yang mencukupi bukan sahaja membantu golongan B40, malah turut mewujudkan pasaran sewa yang lebih stabil dan inklusif.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga perlu mempertimbangkan had kenaikan sewa tahunan bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terus mampu menyewa kediaman pada kadar berpatutan.
"Saya mendapati rakyat B40 sukar memperoleh rumah sewa berpatutan. Harga sewaan sedia ada belum tentu mampu ditanggung oleh mereka," katanya menerusi kenyataan.

Pusat Komuniti Digital atasi buli siber
Selain isu perumahan, beliau turut menekankan kepentingan menangani buli siber melalui pendekatan menyeluruh merangkumi pendidikan, penguatkuasaan, dan dasar terancang.
"Kerajaan Negeri boleh menubuhkan pusat komuniti digital bagi meningkatkan literasi siber rakyat serta mewujudkan mekanisme aduan seperti Ombudsman Negeri.
"Garis panduan dan enakmen keselamatan siber perlu diwujudkan di peringkat negeri dengan kerjasama pihak berkuasa, sekolah, dan masyarakat," katanya sambil menyarankan peruntukan khas bagi memperkukuh program pencegahan dan pendidikan siber secara berterusan.
Peruntukan tambahan, tingkat kualiti jalan
Melihat kepada isu infrastruktur jalan raya, Preakas berkata, Kerajaan Negeri wajar menambah dana kepada agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri supaya keperluan jalan utama dan jalan perhubungan dapat dipenuhi dengan segera.
"Peningkatan kualiti infrastruktur jalan raya memerlukan perancangan rapi dan berterusan, bukan sekadar pembaikan sementara.
"Peranan aktif Kerajaan Negeri amat penting untuk memastikan jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik demi keselesaan rakyat," katanya.





