ad

Kemurungan selepas bersalin, sokongan suami terapi terbaik isteri

11 Nov 2025, 1:00 AM
Kemurungan selepas bersalin, sokongan suami terapi terbaik isteri

SHAH ALAM, 11 NOV: Kemurungan selepas bersalin bukan sekadar isu emosi si ibu, ia adalah masalah kesihatan nyata yang memerlukan perhatian perubatan dan sokongan menyeluruh keluarga khususnya daripada suami, kata pakar.

Menurut Pakar Psikiatri MSU Medical Centre, Prof. Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi, kehadiran dan kefahaman suami mampu menjadi "terapi terbaik" buat isteri yang sedang melalui tempoh pemulihan selepas melahirkan anak.

"Suami memainkan peranan paling besar dalam memastikan kesejahteraan emosi isteri."

"Tak perlu tunggu disuruh, kalau boleh bantu, bantulah. Kuncinya ialah meringankan beban dengan penuh kasih sayang," katanya pada program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Rakaman Bicara Semasa Kemurungan Selepas Bersalin: Luka Yang Tak Nampak bersama Pakar Psikiatri MSU Medical Centre Prof. Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi di Studio Media Selangor pada 31 Oktober 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

Beliau menegaskan, selepas bersalin, ramai wanita berdepan perubahan hormon, keletihan dan tekanan tanggungjawab baharu.

"Rasa sedih, letih dan cepat tersentuh adalah normal dalam tempoh dua minggu pertama (baby blues), namun jika berlarutan lebih lama hingga hilang semangat, terganggu tidur dan selera makan, itu tanda kemurungan selepas bersalin (postpartum depression)," jelasnya.

Tambahnya, faktor lain seperti tekanan fizikal, kurang rehat dan amalan berpantang yang terlalu ketat turut menyumbang kepada tekanan emosi ibu.

"Dalam kes yang lebih serius, ada ibu sampai hilang daya tahan, berasa hidup tak bermakna, malah cenderung mencederakan diri atau bayi. Ini bukan tanda kelemahan, tetapi tanda mereka perlukan rawatan dan sokongan," katanya.

Untuk rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 bagi bahagian Kesihatan Ibu & Anak di Malaysia melaporkan 11.2% ibu mengalami kemurungan selepas bersalin, tetapi kadar kesedaran rendah menyebabkan 9 daripada 10 tidak menyedari masalah kesihatan mental mereka.  

Sindrom ‘Ibu Sempurna’ media sosial

Selain tekanan dalaman, pengaruh media sosial juga menjadi punca utama gangguan emosi.

Prof. Dr. Najib menyifatkan fenomena ‘sindrom ibu sempurna’ sebagai antara cabaran besar ibu masa kini.

Beliau menambah, ramai ibu berasa gagal apabila hantaran media sosial mereka menerima kritikan atau dibandingkan dengan orang lain.

"Zaman dulu gosip hanya di ‘mesyuarat tingkap’, tetapi sekarang dua saat selepas kita muat naik sesuatu di media sosial, dah ada komen dan bukan semuanya positif."

"Ibu yang cari sokongan, akhirnya tertekan bila setiap tindakan diadili," katanya.

Pakar Psikiatri MSU Medical Centre Prof. Dr. Muhammad Najib Mohamad Alwi. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR.

‘Yang penting bahagia, bukan sempurna’

Dalam mengejar imej sebagai ibu yang “sempurna”, ramai wanita tanpa sedar meletakkan beban yang terlalu berat pada diri sendiri.

Prof. Dr. Najib menekankan bahawa ibu tidak perlu menjadi serba tahu atau serba boleh tetapi yang penting ialah kesejahteraan emosi dan kebahagiaan keluarga.

"Kesempurnaan itu tak penting. Yang penting kita bahagia dan mampu memberi yang terbaik."

"Kurangkan tekanan, tingkatkan kasih sayang. Bila suami dan keluarga bersama, pengalaman selepas bersalin akan jadi indah, bukan trauma," ujarnya.

Menurut beliau, masyarakat juga perlu mengubah perspektif terhadap ibu selepas bersalin yang sedang menyesuaikan diri dengan kehadiran insan baharu dalam hidup.

"Kalau kita boleh turunkan sedikit standard, kurangkan penghakiman, dan beri ruang untuk ibu bernafas, barulah dia boleh menikmati peranan itu dengan lebih tenang."

"Anak sihat dan keluarga bahagia itu jauh lebih berharga daripada imej sempurna yang dikejar," katanya lagi.