ad

Bilangan penganggur menurun kepada 518,600 orang setakat September

10 Nov 2025, 6:13 AM
Bilangan penganggur menurun kepada 518,600 orang setakat September

SHAH ALAM, 10 NOV: Jumlah penganggur pada September 2025 menurun kepada 518,600 orang berbanding 520,000 pada Ogos lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi ekonomi yang baik telah menyokong pertumbuhan tenaga buruh Malaysia, termasuk peningkatan bilangan penduduk bekerja, pengurangan pengangguran, serta pembangunan serantau yang lebih inklusif.

“Tenaga buruh terus berkembang 0.2 peratus kepada 17.54 juta orang berbanding 17.51 juta orang pada Ogos. Kadar penyertaan tenaga buruh pula kekal 70.9 peratus, sama seperti bulan sebelumnya,” katanya.

Bilangan penduduk bekerja juga meningkat 0.2 peratus kepada 17.03 juta orang, berbanding 16.99 juta orang pada Ogos.

Menurut Mohd Uzir, 74.9 peratus daripada jumlah penduduk bekerja tergolong dalam kategori pekerja, dengan peningkatan 0.1 peratus kepada 12.74 juta orang daripada 12.73 juta orang bulan sebelumnya.

Sementara itu, penduduk bekerja sendiri meningkat 0.4 peratus kepada 3.24 juta orang berbanding 3.22 juta orang pada Ogos.

Bagi pengangguran, mereka yang aktif mencari kerja membentuk 79.8 peratus daripada jumlah penganggur. Kategori ini mencatatkan penurunan 0.3 peratus kepada 413,600 orang berbanding 414,900 orang pada bulan sebelumnya.

Daripada kumpulan ini, penganggur kurang daripada tiga bulan mewakili 64.6 peratus, manakala penganggur jangka panjang melebihi setahun adalah 4.9 peratus.

Melihat prestasi keseluruhan suku tahun ketiga 2025, tenaga buruh meningkat 0.7 peratus kepada 17.49 juta orang, berbanding 17.37 juta orang pada suku tahun kedua.

Kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.9 peratus, sementara bilangan penduduk bekerja bertambah 0.7 peratus kepada 16.97 juta orang (ST2 2025: 16.85 juta orang). Bilangan penganggur pula menurun 0.2 peratus kepada 519,900 orang (ST2 2025: 520,900 orang).