SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) komited mencari penyelesaian terbaik dalam menangani isu banjir dan penyelenggaraan sistem saliran yang sering menghantui penduduk di Desa Timah Langat, Dengkil.
Yang Dipertuanya, Dr Ani Ahmad berkata pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta agensi teknikal berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dapat dijalankan segera dan berkesan demi kesejahteraan komuniti.
“Masalah banjir dan sistem saliran ini memerlukan perhatian segera, begitu juga kutipan sampah serta laluan jalan sempit yang menyukarkan pergerakan harian," katanya pada sesi dialog bersama penduduk Desa Timah Langat di Dengkil, semalam.
Dialog itu turut dihadiri penduduk Cybersouth dan Bukit Damar, Dengkil yang mencadangkan pembinaan sekolah dan tanah perkuburan baharu, serta menegur kewujudan premis perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Turut dibincangkan penyediaan parkir tambahan dan semakan semula pelan penyelenggaraan kawasan bagi menentukan sama ada Desa Timah Langat berada di bawah tanggungjawab Pejabat Tanah atau MPSepang.
Sesi dialog tersebut turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin, Ketua Penolong Pegawai Daerah Sepang, Hazlim Hapaz, serta wakil JKR, JPS, Air Selangor, TNB dan polis Dengkil.
Ahli Majlis MPSepang Zon Timah Langat, Lee Kan Ming turut memainkan peranan sebagai penghubung antara penduduk dan pihak berkuasa tempatan.




