SHAH ALAM, 10 NOV: Seramai 398 individu ditahan dalam Op Noda yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 7 dan 8 November, dengan tumpuan terhadap premis hiburan tanpa lesen.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata sebanyak 118 premis pusat hiburan diperiksa di seluruh negara, dan 103 premis didapati tidak mempunyai lesen hiburan yang sah.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima pemilik premis, tiga pengurus, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan bagi siasatan lanjut.
“Daripada jumlah itu, 87 adalah rakyat tempatan (76 lelaki, 11 wanita) dan 311 warga asing (151 lelaki, 160 wanita) berusia antara 19 hingga 55 tahun.,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pelbagai peralatan hiburan dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil aktiviti hiburan tidak berlesen turut dirampas.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh Bahagian D7 JSJ Bukit Aman bersama jabatan siasatan jenayah di setiap kontinjen, dengan bantuan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual minuman keras tanpa lesen sah, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, M Kumar menegaskan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan pendaftaran yang sah.
"Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini," katanya.




