PETALING JAYA, 10 NOV: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuka Pusat Perkhidmatan Autisme di Bangi yang dijangka beroperasi awal tahun 2026 bagi memenuhi keperluan sokongan orang kurang upaya (OKU) autisme yang semakin meningkat di Selangor.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata premis tersebut sedang dinaik taraf dan akan menjadi pusat sehenti yang menyediakan rangkaian perkhidmatan menyeluruh termasuk diagnosis dan intervensi awal serta sokongan kepada keluarga.
“Mengambil kira jumlah OKU autisme yang semakin meningkat, JKM akan menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme di Bangi yang dijangka beroperasi awal tahun 2026.
“Premis tersebut sedang dinaik taraf dan insya-Allah ia berfungsi sebagai pusat sehenti menawarkan perkhidmatan komprehensif termasuk diagnosis dan intervensi awal serta sokongan kepada keluarga,” katanya.

Beliau menyampaikan sembah ucapan itu pada Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Damansara Damia yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini, malam tadi.
Azmir turut memaklumkan bahawa Selangor merekodkan seramai 147,794 OKU berdaftar setakat Oktober tahun ini, termasuk 54,667 OKU masalah pembelajaran dan 17,794 atau 32.5 peratus golongan autisme.
Sementara itu, beliau menggalakkan pemegang kad OKU untuk menukar kad lama kepada kad baharu bercirikan Kod Respons Pantas (QR).
“Saya menyeru kepada semua pihak untuk mendaftarkan ahli keluarga yang didiagnosis sebagai OKU oleh pegawai perubatan.
“OKU yang berdaftar akan menikmati lebih 30 kemudahan yang disediakan oleh pelbagai pihak dan agensi,” katanya.




