SHAH ALAM, 9 NOV: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada sebatang pokok semambu di Kampung Lubuk Kabu, Kuala Pegang dekat Baling, Kedah, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Ahmad Salimi Md Ali berkata, pihaknya menerima laporan orang awam berhubung kejadian itu sekitar jam 11.30 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi, lapor Berita Harian.
“Siasatan mendapati mangsa berusia 34 tahun merupakan penduduk kampung berkenaan dan difahamkan baru dua hari mendirikan rumah tangga.
“Lelaki itu dipercayai memanjat pokok semambu setinggi kira-kira lima meter di tepi sebuah rumah sebelum ditemui tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan oleh petugas Klinik Kesihatan Kupang mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.




