KLANG, 9 NOV: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) melaksanakan operasi bersepadu dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di Jalan Sungai Daun Batu 4, Off Jalan Kapar, baru-baru ini.
Operasi tersebut juga melibatkan beberapa jabatan MBDK termasuk jabatan pelesenan, jabatan kesihatan, jabatan penguat kuasa dan jabatan perkhidmatan persekitaran.
“Dalam operasi berkenaan, tiga premis terdiri daripada restoran, kedai runcit dan kedai alat ganti kenderaan diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati dua premis berlesen manakala satu lagi beroperasi tanpa lesen.
“Sebanyak lima kompaun dikeluarkan dan satu sitaan dibuat atas pelbagai kesalahan, antaranya beroperasi tanpa lesen, meletakkan halangan di kawasan awam, melepaskan efluen di lokasi tidak dibenarkan serta gagal menyelenggara premis dalam keadaan bersih dan teratur,” maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi kenyataan.
MPK memaklumkan tindakan dan operasi berkala akan diteruskan bagi memastikan pematuhan undang-undang, penjagaan kebersihan dan keselamatan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu berada pada tahap terbaik.







