KLANG, 19 DIS: Hampir 150 lokasi panas (hotspot) pembuangan sampah haram dikenal pasti di sekitar Klang, sekali gus memerlukan tindakan tegas dan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang, Dato’ Abdul Hamid Hussain berkata, sebagai langkah menangani masalah berkenaan, kamera litar tertutup (CCTV) bergerak akan ditempatkan di kawasan hotspot mengikut keutamaan.
“Di Klang sahaja, lebih 100 ‘hotspot’ sampah-sampah longgokan kecil dikenal pasti dan 30 pula memerlukan mesin untuk dibersihkan. Isu sampah ini masih berlarutan di Klang kerana kawasannya agak luas selain peniaga banyak menjalankan aktiviti sehingga membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.

“Sebelum ini, memang kita ada pasang CCTV untuk menahan pelaku dan mengeluarkan kompaun selain tindakan sita kenderaan. Usaha ini akan diteruskan dan kita juga bercadang untuk beri insentif kepada pemberi maklumat.
“Namun, isu sampah ini terus berulang walaupun pelbagai usaha diambil kerana individu tidak bertanggungjawab membuang sisa di tempat yang disediakan,” katanya ditemui pada operas pembersihan besar-besaran terjah lokasi ‘hotspot’ kotor hari ini.
Operasi pembersihan tersebut dijalankan di kawasan perumahan Flat Taman Chi Liung, Pandamaran, dan diketuai oleh EXCO Kerajaan Tempatan, Dato’ Ng Suee Lim, dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM).

Dalam pada itu, beliau menyeru para peniaga supaya mematuhi kaedah pembuangan sisa yang betul dengan berurusan secara rasmi bersama KDEBWM.
“Kebanyakan peniaga menggunakan kemudahan rumah sampah di kawasan perumahan sedangkan ia disediakan khusus untuk penduduk.
“Oleh itu, penyelesaian perlu dicari supaya setiap aktiviti yang menjana sisa dapat diurus dengan baik, walaupun memerlukan bayaran mengikut kadar yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, bertitah menerima banyak aduan berkaitan masalah kebersihan di Selangor dan mahu tindakan segera diambil bagi memastikan negeri ini sentiasa bersih.
Baginda bertitah, peningkatan jumlah aduan lengkap dengan maklumat pengadu menunjukkan tahap keprihatinan rakyat semakin tinggi terhadap isu kebersihan bandar, dan Selangor seharusnya menjadi contoh dari segi kemajuan serta tadbir urus yang baik.


