SHAH ALAM, 9 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) terus mengekalkan prestasi cemerlang apabila berada di tangga ke-22 daripada 1,526 universiti di Asia dalam QS World University Rankings 2026: Asia, sekali gus kekal sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia dan keempat terbaik di Asia Tenggara.
Pencapaian itu meletakkan UPM dalam kelompok 1 peratus terbaik universiti di Asia hasil peningkatan dalam semua 11 aspek penilaian QS, termasuk empat yang mendapat markah penuh (100 peratus) iaitu pertukaran pelajar masuk dan keluar, pelajar antarabangsa, serta kakitangan berkelulusan PhD.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kejayaan tersebut mencerminkan peningkatan berterusan universiti berkenaan sejak tahun lalu dengan markah keseluruhan dan sembilan daripada 11 indikator kini mencapai tahap tertinggi.
“UPM tidak menjadikan ranking sebagai matlamat strategik, sebaliknya sebagai ukuran kemajuan dan penambahbaikan berterusan. Falsafah kami mudah sentiasa lebih baik daripada tahun sebelumnya.
"Kami menekankan prestasi markah berbanding kedudukan kerana ranking bersifat relatif, dan UPM lebih memilih untuk berkolaborasi daripada bersaing,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pencapaian dalam QS Asia 2026 membuktikan keberkesanan pendekatan strategik UPM berasaskan kerangka ‘True North’ yang memacu impak terhadap ilmu, negara, planet dan kemanusiaan.
“Kejayaan ini hasil dedikasi seluruh warga UPM. Kami akan terus memperkukuh semangat kerja berpasukan dan ukhuwah bagi menghasilkan impak yang lebih bermakna,” ujarnya.
Selain mengekalkan skor hampir sempurna dalam reputasi akademik (99.3 peratus) dan reputasi majikan (98 peratus), UPM turut mencatat peningkatan dalam indikator Papers per Faculty dan Citations per Paper yang menunjukkan keaktifan penyelidikan serta impak penerbitan.
Konsistensi itu mengukuhkan kedudukan UPM sebagai universiti penyelidikan bertaraf dunia berteraskan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan sejagat, selaras dengan hala tuju UPM True North serta Blueprint Kesihatan Planet (Planetary Health Blueprint) universiti berkenaan.




